KALAU NAJIB NAK SELAMAT, LANTIK MAHATHIR JADI PENASIHAT KERAJAAN~Malaysiakini

Tuesday, October 21, 2008

Oleh Sabrani Muin



Patutnya, semasa Tun Mahathir melepaskan jawatan dan menyerahkannya kepada Datuk Seri Abdullah dulu, ahli-ahli kabinet duduk bersidang mencari fomula supaya Mahathir diberi tempat dalam pemerintahan sekurang-kurangnya wujudkan satu jawatan sebagai Penasihat Kerajaan Malaysia yang bertaraf sama dengan Menteri Kanan Singapura Lee Kuan Yew.

Kerana itulah bila Mahathir tidak diberi hak apa-apa dalam kerajaan sebagai penasihat misalnya, tentulah dia akan nampak perkara-perkara yang dia belum sempat buat atau tidak buat lagi dan membaca segala cacat cela dalam pentadibiran perdana menteri baru.


Akan ada sajalah yang tak kena padanya. Alangkan semasa dia belum jadi perdana menteri dulu pun Mahathir sudah jadi tukang kritik perdana menteri. Inikan pula dia sudah jadi perdana menteri terlama dan masih sihat lagi untuk aktif, pastinyalah dia akan membuat teguran-teguran dari luar yang lebih bebas.


Semasa Mahathir jadi PM, tidak siapa berani membuat teguran. Tegur saja, akan kena masuk bilik bekulah dia atau pun akan dibenam dalam mana-mana lembah yang orang tak nampak lagi. Amat berbeza di zaman Mahathir dan Pak Lah. Mahathir tidak boleh ditegur dan dia sahaja yang boleh menegur. Pak Lah pula boleh ditegur, boleh dicemuh dan boleh dilanyak cukup-cukup sesuai dalam zaman keghairahan cyber hari ini.


Pada Zaman Mahathir, kegunaan internet dan blog tidak begitu ghairah lagi. Ketika itu rakyat Malaysia hanya mahu cuba-cuba sahaja. Tetapi malangnya apabila sampai masa Pak Lah, perang cyber mula hebat dan terus hebat tanpa ada sekatan dari mana-mana pihak. Memang Pak Lah biarkan kerana itulah cara untuk mendapat feedback dari orang ramai yang paling jelas.

Dalam pada biarkan, ia meledak luas dan kebebasan yang diberi sudah menjadi luar jangkaan. Macam-macam maklumat betul, maklumat separuh betul dan benar-benar palsu boleh disebarkan dengan sewenang-wenangnya. Hinggakan untuk politik ia digunakan menjadi alat yang paling berkesan untuk berkempen.


Tidak hairanlah timbul blog yang pro dan yang anti. Hinggakan hari ini boleh dikatakan seluruh rakyat yang sudah celik IT telah mengambil kesempatan memberi maklumat, mencari peluang, membuka peluang, termasuk yang mencari peluang menipu pun ada hinggalah terbit begitu ramai penulis yang dulunya hanya membaca sahaja.


Tidak boleh dinafikan ini adalah kesan kemajuan yang paling ketara sekali dalam era Mahathir walaupun ia telah menjadi hairwire dalam dunia politik tanahair hari ini. Tetapi yang paling bahayanya ialah apabila Mahathir sendiri telah membuka blog untuk mengecam kepimpinan Pak Lah dan ahli kabinet yang tidak disukainya.


Ini tidak betul. Apabila dunia politik UMNO menjadi huru hara dek kerana 'jeritan' Mahathir di luar lingkungan kerajaan, maka negara-negara berkuasa besar melihat negara kita semakin mengecil. Tidak kurang yang memperkecilkan corak pemerintahan semasa. Sudahlah pembangkang memang kerjanya menghentam kerajaan, bekas perdana menteri pun hentam pemimpin kerajaan. Jadi, ia sudah menjadi terlalu berat untuk kerajaan mentadbir negara ini dengan lebih tenang dan sempurna.


Lantas ia menjadi alat yang menyebabkan BN kalah teruk dan gagal mencapai dua pertiga dalam pilihan raya umum ke-12 lalu. Sampai hati Mahathir tidak langsung mahu berkompromi membantu kerajaan yang telah ditinggalkan sedangkan masih menikmati pencen dari kerajaan lagi.


Ditambah pula dengan tindakannya menghasak Pak Lah supaya letak jawatan tidak henti-henti kemudian mengambil bahagian dalam mencaturkan siapa patut lawan Pak Lah dalam pemilihan UMNO nanti. Gangguannya hingga mendesak Najib dilihat tidak ikhlas pula apabila Mahathir dengan sekutunya terus menerus mahukan peralihan kuasa dipercepatkan.

Sudah dipercepatkan ke bulan Mac, tetapi masih tak puas hati lagi. Ada masanya Mahathir yakinkan Tengku Razaleigh supaya lawan Pak Lah rebut jawatan Presiden UMNO. Tetapi beliau cepat-cepat beralih kepada Najib semula setelah melihat Tengku Razaleigh tidak cukup tenaga untuk meraih pencalonan sepertimana diharapkan.


Boleh dikatakan gah di mana-mana kalau Tengku Razaleigh lepas pencalonan, Pak Lah akan kalah di tangan Ku Li. Tetapi Pak Lah sedar tidak ada gunanya beliau teruskan tugasnya dan lebih baik serah pada Najib bulan Mac ini. Lepas itu dia mahu tengok apakah Mahathir puas hati dengan cara pemerintahan Najib pula.


Najib akan selamat dan tidak akan dikritik kalau sama ada secara rasmi atau tidak rasmi melantik Mahathir sebagai Penasihat Agung kepada Kerajaan Malaysia sehingga akhir hayat Mahathir. Selepas itu, Pak Lah tidak akan dilantik menggantikan tempat itu kerana Najib tidak perlu penasihat kerana beliau sudah ada penasihat setianya yang semua orang tahu siapa.


Kalau Najib juga tidak lantik Mahathir yang berbentuk ketua kepada perdana menteri dalam apa juga nama atau gelaran yang berkuasa memberi nasihat yang mesti dipatuhi, Najib akan menerima padah lebih teruk daripada Pak Lah. Kalau ada umur, sama-samalah kita lihat.

Read more...

MAHATHIR TERUS MAHU JADI ORANG BERKUASA SEPERTI MENTERI KANAN SINGAPURA~Malaysiakini

Monday, October 20, 2008

Oleh Sabrani Muin

Sebenarnya bukan senang untuk Tun Dr Mahathir Mohamad mahu melupakan dirinya bukan lagi Perdana Menteri Malaysia – orang yang berpengaruh di rantau ini. Maklumlah, selama 22 tahun beliau memerintah negara ini. Begitu juga dengan UMNO, beliau telah mengalami macam-macam hal termasuklah pernah dipecat dan diterima semula sehinggalah dia berjaya jadi perdana menteri yang bagaikan tidak mahu dilepaskan langsung.

Hakikatnya Mahathir yang dikenali semua orang walaupun budak kecil hari ini, benar-benar telah menggunakan segala apa yang beliau perolehi terutama pengaruh untuk membuat percaturan dalam UMNO yang sehingga sekarang ini UMNO dilihat sudah tidak lagi mempunyai nilai pekerti, budai bahasa dan malu alah serta beretika semata-masa disebabkan macam-macam benda yang pada asalnya tidak lain dan tidak bukan dari tangan Mahathir.

Beliau lantik Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi (Pak Lah) menggantikan tempat beliau setelah mengenepikan beberapa orang penting di bawahnya termasuk Datuk Seri Anwar Ibrahim, Tan Sri Musa Hitam, Tengku Razaleith Hamzah, Tun Ghafar Baba dan barulah dengan mungkin cara terpaksa beliau menyerahkan kepada Pak Lah. Wal hal, beliau melepaskan jawatan itu dengan hati yang cukup berat, tuhan saja yang tahu. Kalau boleh memang dia mahu teruskan lagi tetapi beliau sedar ketika itu orang sudah semakin ramai yang menyampah dengan sikap cendekelnya.

Sebaik sahaja Pak Lah pegang jawatan Perdana Menteri, kesangsaraan Pak Lah bermula apabila Pak Lah tidak bebas melantik siapa timbalannya. Mahathir paksa Pak Lah ambil Datuk Seri Najib Tun Razak dan tentunya Pak Lah akur kerana Najib juga seorang yang berkelibar. Kemudian, ungkit pasal jambatan bengkok yang menghubung Malaysia – Singapura dan macam-macam Mahathir kutuk Pak Lah hingga peringkat menghina perdana menteri yang dilantik.
Berdirinya Pak Lah sebagai perdana menteri, bagaikan tidak diberi muka langsung dibuat dek Mahathir. Ada saja Pak Lah buat, semua beliau tidak puas hati. Sedangkan tidak sedikit pun Pak Lah menunjukkan dia tersinggung atau marah pada Mahathir mungkin sebagai menghormati orang yang telah berbudi kepadanya. Tetapi seterusnya Mahathir tidak duduk diam. Dia terus menghasak Pak Lah sampai ke dinding.

Akhirnya, prestasi Pak Lah menjadi merosot dan tugasannya amat terganggu. Mahathir terus melalak hingga bercakap di luar negara menyalak tanpa segan silu menjejaskan imej Malaysia di mata dunia. Kerana Mahathirlah pelabur asing bagaikan terbantut mahu terus melabur di Malaysia kerana bekas perdana menteri menghentam perdana menteri yang dia sendiri lantik. Di sini nampak ada yang tak kena dengan keadaan negara kita.

Mahathir bagaikan tidak ada bahasa langsung apabila bercakap mengenai Pak Lah yang terkial-kial mahu membaiki banyak perkara yang telah Mahathir rosakkan termasuk orang UMNO sendiri yang sekarang ini terus rosak dengan didikannya supaya melawan tuan. Zaman Tunku Abdul Rahman pun begitu juga sikap Mahathir yang kononnya dialah yang pandai mentadbir negara ini. Apabila sampai ke tangannya, Malaysia pun turut dirosakkan termasuk rosakkan UMNO apabila dialah yang memperkenalkan kuota pencalonan yang dia minta rongkah kembali.

Zaman dia, apa dia kata semua boleh. Zaman orang lain, apa orang buat, semuanya salah. Berkemungkinan besar dalam hati kecilnya, Mahathir mahu jadi Menteri Kanan seperti Singapura agaknya. Tetapi beliau nak cakap, malu. Kerana itulah dia melalak macam orang gila talak tak habis-habis.
Apabila Pak Lah buat tak peduli dengan lalakannya, dan dicabar Pak Lah supaya berhenti tak juga jalan, akhirnya dia keluar daripada UMNO. Sekarang ini, dia lupa yang dirinya bukan lagi ahli UMNO untuk dia bermuka-muka mencanaikan senarai pemerintahan dengan membuat pelbagai pakatan menggunakan pengaruhnya cara kebijaksanaannya memerangkap beberapa orang penting supaya ikut jejaknya menghasak Pak Lah. Lagaknya setaraf dengan Anwar Ibrahim. Sekurang-kurangnya, Anwar ada juga platform dengan partinya. Mahathir takde apa. Cuma PM pencen terpaksa saja.

Walaupun banyak kali dah Mahathir tidak mengaku memainkan peranan dalam usaha menjatuhkan Pak Lah melalui beberapa orang yang bagaikan 'terpaksa' akur cadangannya termasuklah Datuk Seri Najib Tun Razak, Tan Sri Tengku Razaleigh Hamzah dan akhir sekali Tan Sri Muhyiddin Yassin pakai buang cakap Mahathir bagaimana mahu buat supaya beri tekanan pada Pak Lah yang terpaksa mengubah beberapa agenda penting yang telah dipersetujui sebelum ini.

Apabila Pak Lah nampak macam degil, lagi Mahathir tidak tahan. Dan musim mesyuarat Bahagian yang bermula di musim raya ini, memang Mahathir mengambil peluang membuat lawatan ala 'road show' menayang wajahnya ke sana ke mari bercakap, berbual dan bermesra dengan semua orang penting memasukkan jarumnya yang boleh dikatakan macam menghasut secara tidak langsung. Betul-betul macam gaya kominis subversif.

Inilah juga peluang YB Datuk Mukhriz, anak harapan kesinambungan darah politiknya mengekori dari belakang hingga nampak jelas pada mata orang politik dan orang bukan politik bahawa Mahathir berkempen untuk anaknya supaya mendapat pencalonan terbanyak untuk merebut jawatan Ketua Pemuda UMNO akan datang nanti sambil beliau secara tak langsung dan halus bicaranya mempengaruhi menafikan kelayakan YB Khairy Jamaluddin dan Datuk Seri Khir Toyo sehingga Mukhriz menang dengan senang lenang.

Semua orang nampak kesan cemburu, busuk hati dan perancangan Mahathir itu dan tidak semua Pemuda Bahagian begitu bodoh mahu memberikan semua pencalonan kepada Mukhriz sahaja. Kerana itulah walaupun yang lain mendapat pencalonan agak perlahan, tetapi pasti jawatan Ketua Pemuda akan berentap untuk perwakilan pemuda benar-benar membuat pilihan siapa sebenarnya mereka mahu semasa pemilihan nanti.

Kalau Mahatir terus mahu menjadi pencanai politik UMNO, ramai berpendapat, semakin beliau campur, baunya semakin busuk. Nafilah banyak manapun dalam media bahawa beliau tidak campur politik UMNO hari ini, tetapi ramai yang menjebek bibir dan orang semakin menyampah. Kalau tidak campur, apa perlu Mahathir sampai buka blog bermain politik dan lihatlah blognya penuh dengan luahan hasat dengkinya menghasut macam-macam perkara yang tidak sepatutnya seorang bekas perdana menteri lakukan kepada rakan yang pernah menyokong dan taat dengannya sebelum ini.

Read more...

"Berani Berubah atau Berani Main Kotor?" ~Malaysiakini

Wednesday, October 15, 2008

Jelas sekali strategi Datuk Mukhriz Mahathir cukup berhasil mengejutkan semua pemerhati politik Pemuda UMNO. Dengan 40 pencalonan dalam tangan, Mukhriz sudah layak bertanding di Perhimpunan bulan Mac kelak, dan mendahului Khairy Jamaluddin serta Dato' Seri Khir Toyo. Tetapi strategi membuahkan hasil ini perlu dikaji sedalam-dalamnya untuk memastikan sama ada ianya berketepatan dengan slogan Berani Berubah yang dibawa Mukhriz.

Tanya sahaja mana-mana 'orang dalam' Pemuda, semua akan berkata bahawa taktik Mukhriz yang selama ini dilihat 'underdog' adalah untuk menabur wang terus ke perwakilan di setiap bahagian. Sudah pasti ketiga-tiga calon utama masih menggunakan politik wang untuk meraih undi; siapa pun tidak akan percaya jika kami katakan bahawa Mukhriz sahaja yang membawa beg berisi kepala agung. Ternyata realiti politik UMNO masih di takuk lama.

Tetapi politik kepala agung pun ada etika dan hadnya yang lazim. Mukhriz yang langsung mendampingi para perwakilan ternyata tidak menghormati adat Pemuda kerana tidak melalui Ketua Pemuda dan Naib Ketua Pemuda Bahagian. Apa yang terjadi di Bahagian seperti Rasah dan Kota Melaka apabila Ketua Pemuda atau calon Ketua Pemuda Bahagian masing-masing – Helmy dan Razak – dikejutkan dengan suara perwakilan yang berlawanan dengan suara Ketua Pemuda Bahagian. Memang diakui, suara akar umbi itu wajar kuat dan berdikari dari pemimpin atasan bahagian, tetapi bukankah kita orang Melayu masuk rumah orang bersalaman dengan ketua rumah di muka pintu? Adakah wajar untuk Mukhriz dan konco-konconya memecahkan tingkap, masuk ke rumah orang lantas memujuk anak untuk membelot bapa sendiri semata-mata untuk wang saku?

Bukan setakat itu sahaja, kumpulan Mukhriz juga dilihat tidak malu merasuah perwakilan bahagian sejurus sebelum, dan sewaktu mesyuarat dilangsungkan! Dalam satu kes, seramai 200 perwakilan diberi sampul siap dengan kad raya dari Mukhriz bersertakan RM1000 setiap satunya! Begitu gahnya taktik Mukhriz, umpama pantun hilang pembayang 2 baris pertama atau silat yang tiada langkah bunganya. Dan kini sesudah Mukhriz mencapai 38 pencalonan cukup bertanding di Mac, sudah pasti dialah yang akan beria-ia mengecam politik wang dan akan cuba sedaya-upaya untuk memastikan sama ada orang-orang Khairy atau Khir tertangkap BPR. Walhal dialah kepala rasuah yang utama dalam pemilihan ini!

Akhirnya yang membawa kekesalan paling besar bagi kami adalah ketidakselarian slogan perjuangan Mukhriz "Berani Berubah" dengan tingkah lakunya yang sebenar. Sudah jelas sekali bahawa slogan "Berani Berubah" itu sekadar pengabur mata dan tidak membawa apa-apa erti kepada perjuangan

Mukhriz, kerana yang sebenarnya berlaku adalah suatu strategi politikus yang menghalalkan apa kaedah pun untuk meraih momentum dalam agendanya berkuasa. Apabila diwawancara di Parlimen tempoh hari, Mukhriz tersenyum lebar dan angkuh kononnya dialah ejen perubahan yang dimahukan akar umbi. Namun, ramai yang mengetahui perkara sebenar: kedudukan pertama Mukrhiz dalam proses pencalonan tidak ada langsung kena mengena dengan agenda pembaharuan.

Jikapun ada agenda pembaharuan yang dibawanya, Mukhriz mengakui sendiri dalam wawancara itu bahawa agenda sebenarnya agenda pandang ke belakang, yakni agenda bapanya Tun Dr Mahathir. Semestinya ramai dalam UMNO masih menyanjungi Mahathir dan jasanya pada UMNO, tetapi walau apapun pendapat anda mengenai baik buruk Mahathir, Mukhriz kelihatan tidak langsung mempunyai agenda atau kepercayaan sendiri.Sebusuk-busuk Khairy pun – dia mungkin sombong, dibantu Pak Lah etc. – tetapi siapa pun tidak akan tergamak menuduh Khairy menjadi boneka Pak Lah. Khairy perlu banyak berubah, tetapi dia jelas berkapasiti untuk bermuhasabah diri dan mencari ruangnya sendiri setelah kini tidak lagi boleh dibantu bapa mertuanya. Kapasiti berdikari ini pada kami merupakan elemen PALING penting dalam pengisian perjuangan sayap Pemuda UMNO. Jika Ketua Pemuda mengikut telunjuk orang lain, tutup kedai sahaja lah!

Maka para perwakilan bulan Mac nanti wajar menyelidik habis-habisan baik buruk setiap calon yang layak bertanding nanti. Sentimen sememangnya pro-Mukhriz sekarang ini, tetapi sentimen itu suatu fenomena yang boleh cepat berubah dari masa ke semasa. Yang kekal adalah pengisian perjuangan – bukan slogan, tetapi pengisian! Dan kajilah kita bersama-sama mana satu individu yang benar-benar terbaik untuk memimpin pergerakan Pemuda – dari segi idea, perwatakan dan potensi meraih kembali undi muda.

Read more...

RAKSASABN HOT VIDEO

Followers

  © Blogger templates Newspaper by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP