Kisah Sanusi Junid pulak-Malaysiakini

Thursday, June 12, 2008


Oleh S. C. AdnanKisah

Sanusi Junid pulak KISAH lelucon Melayu, Mat Jenin cukup sinonim dengan bekas Menteri Besar (MB) Kedah, Tan Sri Sanusi Junid. Tapi, bila dia sudah dilantik menjadi Presiden Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM),mungkin orang ramai tidak lagi mahu mengaitkan kisah Mat Jenin dengan Sanusi.

Apa yang menarik, Sanusi ini dikenali sebagai 'ulat buku'. Di rumahnya, dia ada banyak buku. Seperti biasa, bila kita nampak di rumah seseorang yang kita kunjungi, atau tersiar berita dalam surat khabar, kita terus beranggapan bahawa yang empunya buku itu, juga punya banyak ilmu. Tidak begitu sebenarnya. Banyak buku bukan bermakna banyak ilmu. Silap besar kalau kita tengok orang yang pegang buku, kita anggap dia kaki membaca.

Ada orang yang mengenali Sanusi memberitahu, Sanusi banyak membaca buku mengenai peperangan. Jadi, tidak hairanlah kalau dikatakan dia banyak strategi perang, yang dipetiknya dari buku-buku perang yang dibacanya itu tetapi dia tidak ada buku perdamaian. Penulis-penulis buku perang yang dibaca oleh Sanusi itu, bukan penulis yang pernah pergi perang.

Kalau penulis itu pergi perang, mungkin dia (penulis itu) sudah mati dalam peperangan. Kalau sudah mati dalam peperangan, mana mungkin dia menulis buku? Maka, para penulis ini menulis hasil penglihatannya sahaja. Samalah dengan Sanusi, dia melihat dan dia buat tafsiran. Dia merasakan dia lebih hebat dari orang lain, sebab itulah, kita boleh melihat siapa yang berkawan dengan Sanusi sekarang?

Dia dilantik menjadi Presiden UIAM sejak beberapa tahun yang lalu. Mungkin era Tun Dr. Mahathir dan tentunya dia ada tugas di UIAM untuk membersihkan 'sejarah Anwar Ibrahim' di situ. Tugasnya mungkin sudah selesai sekarang dan apabila tugasnya sudah selesai, eloklah jika dia diberhentikan kerana dia pun tahu, bukan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamad Khaled Nordin yang berkuasa memberhentikannya.

Jauh sekali Perdana Menteri. Maka, untuk memberitahu semua orang, Sanusi yang sudah lama tidak mendapat liputan media, buat satu persidangan akhbar memberitahu dia tidak akan melepaskan jawatan Presiden UIAM kerana kontraknya masih ada dua tahun lagi. Tujuan persidangan akhbar itu tidak lain, tidak bukan untuk 'memberitahu semua orang bahawa yang berkuasa adalah Baginda Sultan Pahang selaku Ketua Perlembagaan UIAM. Bila dia menerima surat dari Baginda Sultan, dia buat siding akhbar lagi. Nak muncul sekali lagi dia media massa, memberitahu PM yang desak dia dipecat.

Dari segi semangatnya, kalau sudah tidak sehaluan (dah isytihar keluar dari Umno) dengan pemerintah, buat apa bekerja dengan pemerintah lagi. Bukankah Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi ini Presiden Umno. Kenapa tidak mahu faham semangat itu. Kalau Sanusi rasa dia masih berkaliber, berdasarkan pengalamannya itu, mohonlah bekerja dengan mana-mana kerajaan negeri yang bukan dari Barisan Nasional (BN) mungkin ada jawatan baik buat Sanusi.

Mahu menarik simpati? Mana mungkin Sanusi ada orang yang mahu simpati dengannya. Ketika dia berkuasa, ketika menjadi Menteri Pembangunan Negara dan Luar Bandar, kemudiannya Menteri Pertanian dan Menteri Besar Kedah, Sanusi adalah jenis pemimpin sombong dan ego. Suka menghina orang lain dan suka bercakap sindir menyindir. Selagi mantan Menteri yang berbulu kening tebal ini tidak menukar sikap dan sifatnya, dia tidak akan dapat simpati dari sesiapa. Betul, dengan sikapnya yang ego dan sombong, dia akan berkata dia tidak memerlukan simpati sesiapa tetapi Sanusi ini akan terus 'berperang' dengan sesiapa sahaja kerana dia sering mendakwa dia adalah berketurunan Acheh yang sentiasa hidup dalam suasana 'berperang'.

Tidak hairanlah kalau dia 'berperang' dengan Anwar Ibrahim. Ketika Anwar mahu bertanding jawatan Timbalan Presiden Umno, Sanusi bertindak menyokong Tun Ghafar Baba. Jauh juga perjalanannya pergi berkempen mempertahankan Ghafar dan membelasah Anwar. Namun, seperti yang kita semua ketahui, siapa yang hendak mendengar cakap Sanusi. Akhirnya tewaslah Ghafar dan tewaslah juga Sanusi serta Pak Lah.

Satu catatan sejarah Sanusi yang boleh dikatakan sejarah hitam ialah, ketika dia menjadi Setiausaha Agung Umno, parti itu diharamkan. Kenapa diharamkan, Sanusi tentunya menyediakan jawapan yang 'mampu membersihkan dirinya' tetapi semua orang tahu kerana Sanusi mempunyai sikap yang sombong dan angkuh.

Bukan mudah berbincang dengan Sanusi. Kalau kita bertanya dengan bekas Setiausaha Parlimen Kementerian Keselamatan Dalam Negeri, Datuk Paduka Abdul Rahman Ibrahim tentunya ada cerita menarik yang boleh kita dengar mengenai Sanusi Junid apabila dia menjadi MB Kedah. Tidak hairanlah, kalau BN kalah teruk di Kedah ketika dia mengetuai jentera Pilihan Raya Umum ketika itu.

Baguslah dia berhenti sebagai MB kerana jika tidak, mungkin Kedah sudah lama diperintah PAS kerana rakyat Kedah meluat sangat dengan cara Sanusi. Ingat cerita cabut uban, tanam padi atas bumbung, hadiah bunga kepada isteri dan perlawanan bolasepak antara masjid-masjid? Apa sudah jadi dengan akhbar Koreksi yang pernah diterbitkannya dulu? Sanusi ini jenis mengarut.

Dia buat kelainan hanya kerana ingin menunjukkan dia lebih pandai dari orang lain. Dia buat kelainan kerana merasakan hanya dia yang terbaik dari kalangan pemimpin lain. Sama ada dia dipecat dari jawatannya di UIAM atau dia dipendekkan tempoh perkhidmatannya, Sanusi mempunyai satu kesilapan iaitu tidak mahu berundur dengan cara terhormat. Kononnya bila dipecat, dia hero! Ini bukan zaman peperangan.

Ini zaman aman dan damai. Jawatannya itu bukan jawatan Angkatan Bersenjata. Itu hanya jawatan untuk bagi gaji dan elaun sahaja. Ramai anak-anak buahnya dapat 'habuan' ketika Sanusi menjadi Presiden UIAM. Jangan cuba nafikan. Tanya Aziz Desa, betul atau tidak? Apa kelulusan Aziz Desa yang sentiasa dapat jadi orang penting di samping Sanusi? Begitu juga di Kedah, bukan sedikit wang kerajaan negeri habis.

Tanya kepada Sanusi, berapa dia buang duit buat Kampung Buku di Lubuk Sembilang, Langkawi? Bila orang samakan dia dengan Mat Jenin dia marah tetapi inilah 'cita-cita yang menyebabkan Mat Jenin' jatuh dari pokok kelapa! Tanpa jawatan di UIAM, Sanusi mempunyai banyak masa untuk turun berkempen membelasah PM. Wawancaranya dalam Harakahdaily.net sudah dimulakan untuk memperendah-rendahkan kradibiliti Perdana Menteri.

Dia sudah mulakan langkah untuk menunjukkan dialah yang paling bersih, paling pandai dan paling baik sedangkan orang lain semuanya paling kotor, paling bodoh dan paling jahat. Masyarakat sebenarnya tahu siapa yang baik dan siapa yang jahat! Kisah Sanusi ini akan disambung, jika Sanusi juga menyambung serangannya terhadap kepimpinan hari ini. Selamat berjuang.

Read more...

Najib tidak akan berganding dengan Muhyiddin-Malaysiakini

Monday, June 9, 2008

Jika Najib Perdana Menteri, bukan Muhyiddin Timbalannya KETIKA BN menghadapi suasana kurang selesa sekarang, hasil keputusanPRU 12, 8 Mac 2008, Perdana Menteri (PM), Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi adalah orang yang paling teruk menerima bebanan. Beliau dilihat keseorangan ketika diserang, bukan sahaja oleh lawan, malahan, oleh kawan-kawannya yang pernah suatu ketika dahulu, dalam menyambut kemenangan besar PRU11, 21 Mac 2004.

BN dilihat gagal menguruskan kekalahan. Semua orang nak menuding jari ke arah PM. Hebatnya PM, beliau tidak kisah dengan serangan dan tundingan itu. Hakikatnya, beliau sekarang sedang berhadapan 'suasana yang membenarkan' beliau menilai semula di mana kawan-kawan sejati, sewaktu menangis dan kenalilah kawan-kawan yang hadir ketika 'ketawa'. PM tidak perlu sedih dengan situasi ini, kerana di sinilah letaknya hikmah Allah di sebalik semua kejadian.

Kehadiran bekas Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Mohd Ezam Mohd Nor, juga dikecam oleh rakan-rakan kabinet sedangkan PM sebenarnya 'mahu memberi ruang' kepada lebih ramai' yang tersesat di hujung jalan kembali ke pangkal jalan'. Siapa Datuk Seri Najib Tun Razak, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin dan Datuk Seri Dr. Rais Yatim yang mahu membantah? Belajarlah menghormati PM yang juga Presiden Umno. Kedudukan Najib, Muhyiddin dan Rais itu sendiri pun atas 'ihsan' PM, mengapa tidak PM boleh 'mengumumkan' penerimaan Mohd Ezam ke dalam Umno. Bukankah Mohd Ezam juga bekas Ahli Umno yang juga merupakan kawan kita semua. Mohd Ezam keluar Umno bukan kerana 'kerelaannya'.

Dia dipecat kerana bersama-sama bekas Timbalan Presiden, Datuk Seri Anwar Ibrahim. Sebelum Mohd Ezam masuk, kita pernah diberitakan beberapa bekas orang kuat Keadilan (sekarang PKR) turut menyertai Umno 'melalui pintu Datuk Seri Najib' yang didakwa diusahakan Datuk Sulaiman Ibrahim, orang kuat Najib dengan sedikit habuan. Kenapa tidak jadi isu ketika itu? Siapa yang beri 'lampu hijau' Najib menguruskan kemasukan mereka ini antaranya Ruslan Kassim, Zahid Mohd Arip dan Hanafiah Man? Apakah kalau masuk Umno melalui 'pintu Najib' semua ok tetapi kalu masuk Umno melalui PM, Muhyiddin akan marah-marah.

Suara Muhyiddin kebelakangan ini dan Najib, nampaknya senada. Mulai bila mereka berdua ini boleh 'selangkah dan sehayun? adakah mereka mempunyai matlamat yang sama ketika ini untuk 'melangkah lebih jauh dalam hiraki Umno? Kalau orang-orang Umno masih ingat, cerita gandingan Najib danMuhyiddin ini jika berlaku (saya ulangi – jika berlaku) samalah dengan apa yang berlaku dalam tahun 1987, Tengku Razaleigh Hamzah berganding dengan Tun Musa Hitam. Ku Li dengan Musa mungkin tidak ada masalah kerana mereka 'hanya berdua' tetapi bolehlah penyokong-penyokong mereka, yang bukan sedikit jumlahnya 'melupakan' segala-galanya? Bolehkah Najib melupakan bagaimana Muhyiddin 'memotongnya' dalam 'team wawasan' tahun 1993 dahulu? Bolehkah penyokong-penyokong Najib melupakan bagaimana 'serangan wang ringgit yang berbakul-bakul' dari kumpulan Muhyiddin hingga menyebabkan Najib 'terpaksa' berpuas hati dengan hanya menduduki tempat kedua di barisan Naib Presiden Umno ketika itu.

Nasib baiklah ada usaha dari Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman dengan sokongan (jika tidak silap) Datuk Mazlan Abu (Ketua Umno Bahagian Bakri dan Datuk Abdul Ghafar Gorahhu (Ketua Umno Bahagian Kluang) mendedahkan beberapa hal mengenai 'politik wang' kepada Presiden Umno ketika itu, Tun Dr. Mahathir Mohamad hingga menyebabkan Dr. Mahathir membuat ucapan khas, membelasah calon-calon yang hendak bertanding (beberapa pihak mendakwa ditujukan kepada Muhyddin) bahawa mereka yang menang kerana 'wang' akan menjual negara ini jika mereka menang.

Maka, sejarah mencatatkan tewaslah Muhyiddin dalam usahanya mempertahankan kedudukannya sebagai Naib Presiden dalam tahun 1996,dengan satu keputusan yang cukup teruk dan memalukan hingga membuatkandia bercadang meletakkan jawatannya sebagai Menteri Belia dan Sukan ketika itu.Apakah semua orang sudah melupakan ini semua. Apakah tidak ada perananNajib menjatuhkan Muhyiddin dalam tahun 1996? Atau Muhyiddin sudah boleh melupakan semua ini untuk mencapai cita-citanya mahu menjadi Timbalan Perdana Menteri? Atau Najib sudah boleh memaafkan kesalahan Muhyiddin yang memintasnya dalam tahun 1993 dahulu, hanya kerana sekarang Muhyiddin sudah 'menjadi kempen manager' kepada Najib dalam usahanya menjadi Perdana Menteri?Betullah, politik itu adalah permainan serba mungkin.

Tiada perkara mustahil dalam politik. Tiada musuh kekal dalam politik. Tetapi, baik Najib atau Muhyiddin, cuba-cubalah 'menoleh sebentar kebelakang' dan belajarlah 'jujur' kepada diri masing-masing bahawa 'mereka berdua bukan sahabat' dalam politik. Mana mungkin Muhyiddin boleh bersama Najib. Mana mungkin Najib boleh bersama Muhyiddin kerana mereka renggang dan jarak renggang mereka 'umpama langit dengan bumi'. Bolehkah YB Aziz Kaprawi dan Datuk Nasir Safar 'menerima' Muhyidddin dalam kumpulan Najib?Bolehkah Datuk Mohd Shafie Afdal 'menerima' kehadiran Muhyiddin dalam kumpulan Najib? Begitulah juga dengan orang-orang Muhyiddin seperti Datuk Ir. Hasni Mohamad (Ketua Umno Bahagian Pontian) bolehkah menerima kehadiran Najib dalam kumpulan Muhyiddin?Nama-nama yang saya sebutkan ini 'sentiasa memakin hamun' antara satu dengan lain, setiap masa kalau bercakap soal politik.

Yang sayangkan Muhyiddin tidak akan percaya kepada Najib dan yang mana sayangkanNajib, mustahil dapat menerima kahadiran Muhyiddin dalam kumpulan mereka. Cuba kita bertanya; "Pernahkah Aziz Kaprawi ke rumah Muhyiddin walaupun ketika sambutan Hari Raya?"Ramai juga yang beranggapan, kalaulah Najib dapat menjadi Perdana Menteri, bukan Muhyiddin bakal menjadi timbalannya! Apakah Muhyiddin sedar itu? Muhyiddin semakin sibuk sekarang ini berkempen kononnya 'atas tiket memberi penerangan kod etika pemilihan' tetapi hakikatnya, tiket itu digunakan untuk menyerang kepimpinan PM. Mustahil PM tidak tahu semua ini tetapi, PM bukanlah jenis pemimpin yang bertindak mengikut emosi.

Beliau boleh sahaja menggugurkan Muhyiddin dari kerusi kabinet tetapi ketenangan dan kesabaran sebagai seorang pemimpin yang berjiwa besar menyebabkan Muhyiddin terselamat. Hakikatnya, Muhyiddin pernah merasakah dia lebih layak menjadi Timbalan Perdana Menteri lebih dahulu dari Najib tetapi kononnya desakan Tun Dr. Mahathir terhadap perlantikan itu menyebabkan PM melantik Najib. Bukan main kecewa Muhyiddin. Adakah, kekecewaan itu sudah terubat sekarang dengan mendesak PM berundur? (SCA).

Oleh S. C. Adnan

Read more...

KETUA PEMUDA: LAGI RAMAI LAGI MERIAH. TAPI APA ERTINYA JIKA SEKADAR CUBA-CUBA-Malaysiakini

Thursday, June 5, 2008

Oleh Mahfir Sabtu



Terakhir sekali setakat ini, seorang lagi menawarkan diri untuk bertanding Ketua Pergerakan UMNO iaitu, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Perhubungan UMNO Perlis, Datuk Zahidi Zainul Abidin. Ini menjadikan jumlah menunjukkan minat sudah menjangkau tiga orang.

Mereka terdiri dari Ahli Parlimen Jerlun, Datuk Mukhriz Mahathir, bekas Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo dan Menteri Tenaga, Air dan Telekomunikasi, Datuk Shaziman Abu Mansor.

Walaupun sebelum ini, gah bunyinya, penyandang jawatan naib ketua yang juga Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin juga akan merebut jawatan tertinggi pemuda itu, tetapi belum lagi dari kenyataannya sendiri membuat tawaran terbuka sepertimana orang lain.

Pernah ditanya wartawan, tetapi beliau hanya menyatakan beliau akan mempertahankan jawatan naib ketua. Khairy menjawab begitu kerana beliau sedar bahawa ketuanya Datuk Seri Hishamuddin Hussein belum lagi menyatakan apa-apa yang beliau mahu meninggalkan jawatan ketua pemuda.

Cakap-cakap orang sahaja yang mengatakan Hishamuddin akan bertanding jawatan Naib Presiden UMNO. Tetapi pendedahan secara sah dari kenyataannya sendiri yang beliau sangat berminat, belum lagi kedengaran.

Setakat ini juga, nampaknya tidak ada siapa yang berminat merebut jawatan yang sedang disandang Khairy. Semuanya bangkit menyatakan mahu rebut jawatan ketua pemuda. Apakah mereka ini sudah membuat ukuran terlebih dahulu.

Seperti Zahidi yang sebelum ini pernah menjawat Ketua Pemuda UMNO Perlis dan nama beliau digugurkan daripada mempertahankan kerusi ADUN Beseri dalam pilihan raya umum lalu, menyatakan beliau berhasrat untuk merebut jawatan ketua pemuda itu semata-mata kerana telah mendapat sokongan daripada ahli pemuda UMNO Perlis dan juga jawatankuasa perhubungan negeri.

Namun alasan yang mendorong beliau membuat keputusan menawar diri merebut jawatan itu seolah-olah macam bergurau bunyinya. Apa kata kalau sokongan yang beliau dapat itu berbangkit dari kalangan orang UMNO yang rapat dengan beliau? Tentulah orang akan kata bagus, layak dan patut tanding.

Orang-orang rapat dengan beliau itu kemudiannya menyampaikan laporan kepada Zahidi bahawa memang benar beliau mendapat sokongan dari akar umbi. Semua orang sokong. Ramai yang kata Datuk layak dan patut bertanding dengan jaguh-jaguh yang sudah lama menyatakan sangat berminat dengan jawatan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO yang kononnya bakal ditinggalkan oleh Hishamuddin untuk merebut jawatan naib presiden.

Soalan yang orang ramai tanya, senada bunyinya apabila Mukhriz mahu merebut jawatan yang sama iaitu apa sumbangan yang pernah beliau buat terhadap UMNO di peringkat nasional terutama pemuda? Kata orang utara, "Takdak apa pun….."

Kurang-kurang, busuk-busuk pun, Muhkriz ada jugalah memainkan peranan dalam Aman Malaysia sedikit masa dulu. Tetapi Aman Malaysia dengan perlahan-lahan menjadi malap apabila Malaysia tidak aman apabila beliau 'melawan tauke' sebaik sahaja beliau meminta perdana menteri mengundur diri . Sepatutnya ketika itu, UMNO sudah mengambil tindakan memecat atau sekurang-kurangnya menggantung keahlian beliau dari UMNO kerana bertentangan arus perjuangan parti.

Begitu juga dengan Mohamad Khir Toyo yang telah terang-terang gagal dalam mempertahankan Selangor daripada tangan parti pembangkang. Dengan wajah baru dan kegagalan yang dipikul hari ini, pemuda UMNO begitu ramai yang menyatakan takut dengan kehadiran beliau. Lebih-lebih lagi untuk menjadi ketua mereka.

Gelaran yang melebel namanya dengan penyapu telah banyak meninggalkan kesan bahawa sifat-sifat kepimpinan Mohamad Khir tidak mudah diperkenankan oleh Melayu keseluruhannya. Tidak kurang yang menyatakan Khir patut duduk diam, makan saja pencen yang ada dan jadilah ahli yang baik. Tak payahlah sibuk-sibuk mengejar pangkat dan jawatan lagi. Masa untuk beliau sudah berlalu. Ramai lagi yang lebih berkelibar.

Datuk Shaziman Abu Mansor pula seperti orang baru dalam barisan pemuda UMNO walaupun kedudukan beliau sekarang sebagai menteri. Ada yang tahu namanya tetapi tak kenal wajahnya dengan jelas. Ertinya dia belum cukup popular lagi untuk memegang jawatan yang begitu memerlukan intigriti, karisma dan perwatakan yang dicari-cari.

Sebagai menteri pun, Shaziman masih baru lagi dan penyerlahannya belum teruji sejauh mana beliau boleh mengetuai kementerian yang dikira cukup penting itu. Lagipun, sebagai seorang menteri, apabila beliau menjadi ketua pemuda mengemudi sayap kanan dalam parti, dapatkah beliau mengimbangkan masa, tumpuan dan merancang dengan berkesan untuk pemuda?

Takut jadi macam Datuk Seri Hishamuddin pula nanti yang apabila timbul isu-isu yang patut pemuda bantah, bangkang dan bersuara, beliau menjadi kaku. Kerana itu, naibnya Khairy terpaksa lebih menonjol bagi pihak ketuanya untuk bersuara bersama barisan bawahan lain.

Hishamuddin lebih dilihat menjadi ketua pemuda ketika perhimpunan agung UMNO sahaja. Itu pun ada yang mencebek bibir apabila suaranya menjadi halus bila cuba dilantangkan hingga menjadi bahan cakap-cakap dari kalangan pemuda sendiri, "mulut besar, suara halus". Maka haluslah bunyi suara pemuda UMNO.

Keris yang dihunus hingga menjadi isu besar kepada bukan Melayu yang walaupun tidak ada apa yang menyalahi adat kerana keris itu adalah lambang pahlawan Melayu, terbantut apabila tindakan beliau kemudiannya dengan cara terdesak memohon maaf pula. Padahal maaf itu pun tidak salah, tetapi persepsi Melayu memohon maaf atas isu keris itu dipandang amat besar.

Masing-masing menggeleng kepala dan di mana ceruk orang membedil kelemahan Hishamuddin.

Sungguh memeningkan. Hunus keris, bukan Melayu marah. Minta maaf, orang Melayu pula marah. Jadi sebagai contoh, untuk jadi ketua bukan mudah. Lebih susah menjadi ketua kepada orang muda daripada orang muda menjadi ketua kepada orang tua sebenarnya. Fomulanya, janganlah kita bertindak mengikut sedap kita. Berunding dan berbincang adalah satu cara terbaik untuk mendepankan atau melakukan sesuatu secara bermuafakat dengan sekutu kita. Biarlah ia didedahkan mengikut suara kolektif yang pasti membawa akibah yang baik.

Untuk menjadi ketua atau lebih jelas Ketua Pergerakan Pemuda UMNO dalam pemilihan di Perhimpunan Agung UMNO bulan Disember nanti, percayalah ada ketua pemuda cawangan pun merasakan dirinya layak untuk bertanding. Malah boleh dikatakan semua ketua pemuda bahagian dan barisan ahli EXCO pemuda merasakan diri mereka layak. Cuma mereka tak cakap saja. Dalam hati, ramai yang ingin mencuba.

Tetapi kita ada sistem pencalonan dan undi dari perwakilan secara demokrasi untuk memilih. Mungkin Khairy menunggu sesuatu yang nyata iaitu pencalonan. Kalau ada pencalonan yang cukup, pasti Khairy akan merebut jawatan ketua pemuda itu biarpun terpaksa berdepan dengan Khir berjenama penyapu, Zahidi yang mendapat sokongan tidak rasmi di paras ini, Shaziman yang juga seorang menteri yang berjadual ketat dengan kementeriannya. Itu pun kalau mereka mendapat pencalonan yang cukup.

Apa kata kalaulah Hishamuddin tidak jadi merebut kerusi naib presiden dan mahu mengekalkan kerusi ketua pemudanya, nescaya Khairy akan pertahankan kerusi naib ketuanya. Ketika itu, apakah yang lain akan teruskan juga melawan Hishamuddin? Atau apakah jawatan naib ketua pemuda pula akan jadi rebutan mereka?

Ini hanya satu gambaran sahaja. Ikutkan adat, masa dan keperluan, saya lebih suka melihat Hishamuddin kosongkan jawatan ketua pemuda, buka jawatan itu untuk Khairy, Khir dan Mukhriz bergelut sementara yang lain seperti Zahidi, Shaziman atau mana tahu kalau-kalau ada lagi mana-mana individu lain teringin merebut jawatan naib ketua yang dikosongkan Khairy kelak. Senario begini akan dilihat lebih kemas dan lebih sihat.

Selepas itu yang menang, jangan pula timbulkan macam-macam cerita belakang dan yang kalah pula jangan merajuk atau dengki kepada yang menang. Jadilah pemuda gentleman yang sihat demi keutuhan sayap penting dalam arena politik bangsa kita. Masing-masing kena terima hakikat kalah menang dalam pertandingan sebagai adat bertanding.

Read more...

RAKSASABN HOT VIDEO

Followers

  © Blogger templates Newspaper by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP