1Malaysia diterima orang muda
Tuesday, March 2, 2010
Gagasan 1Malaysia yang dicetuskan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berjaya mengembalikan sokongan dan keyakinan orang muda kepada kerajaan.
Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin berkata, pendekatan baru itu telah memulihkan kepercayaan mereka terhadap UMNO dan Barisan Nasional (BN) bagi memperjuangkan nasib mereka selepas menolaknya pada pilihan raya umum lalu.
Beliau berkata, ia disebabkan pendekatan daripada gagasan 1Malaysia itu memberikan penekanan kepada pemimpin supaya turun padang untuk mendekati rakyat.
"Pada tahun lepas kita berjaya menambah keahlian sebanyak 25,000 orang dan ini jelas menunjukkan pendekatan yang diamalkan oleh kerajaan mendapat sokongan daripada orang muda.
"Ia juga menunjukkan sokongan dan keyakinan orang muda terhadap gagasan 1Malaysia yang mana Perdana Menteri mahukan pemimpin sentiasa turun padang," katanya ketika berucap pada majlis pelancaran Tabung Orang Muda Berbakti Kelantan (Tombak) di sini malam tadi.
Tabung tersebut dilancarkan oleh Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri.
Turut hadir Ketua Pemuda UMNO Kelantan, Anuar Sapian.
Tombak yang disasarkan dapat mengumpul RM500,000 pada tahun permulaan ini akan memberi tumpuan membantu golongan muda yang berdepan dengan masalah kemiskinan bagi meneruskan pelajaran atau menimba kemahiran.
Khairy berkata, pendekatan pemimpin turun padang membolehkan mereka mendapat maklum balas secara terus daripada rakyat.
''Perdana Menteri telah menunjukkan contoh jumpa rakyat di jalanan turun ke bawah untuk melihat sendiri apa yang berlaku.
''Kita tidak mahu lagi bergantung laporan agensi kerajaan walaupun ia penting, kita tidak mahu lagi bergantung maklumat daripada pemimpin di bawah, kita mahu pemimpin sendiri menyelami masalah rakyat," katanya.
Sementara itu, katanya, Kerajaan Pusat tidak pernah mengabaikan rakyat negeri ini walaupun diperintah oleh Pas.
Menurutnya, sudah sampai masanya perubahan dilakukan memastikan negeri ini dibangunkan dengan lebih baik selepas hampir 20 tahun diabaikan.
0 comments:
Post a Comment