ANWAR SUDAH DIKENALI PEMIMPIN KUMPULAN KALAH DAN SALAH-MALAYSIAKINI

Wednesday, August 20, 2008

Mahfir Sabtu
Sedang calon BN sibuk melawat mangsa banjir di kawasan Permatang Pauh, Anwar sibuk jemput bekas-bekas pemimpin gagal dari luar negara. Sementara calon Presiden Angkatan Keadilan Insan Malaysia (Akim), Hanafi Mamat yang menafikan mewakili PAS pula tengelam entah ke mana.
Semasa hari penamaan calon, , Hanafi mendakwa tidak akan hilang deposit, sebenarnya menjadi bahan ketawa ramai apabila persembahannya kelihatan lebih sikit daripada 'uniform' PAS. Ada juga orang kata, Hanafi lebih mirip Pertubuhan Arkam yang berselindung di sebalik Akim.

Yang nyata pada mata ramai sekarang ini, Anwar memang benar-benar terdesak hingga lupa cemarah anjuran PKR didapati tidak pun memohon permit polis. Mungkin dengan sengaja mahu memerangkap pihak berkuasa polis apabila kelak akan menuduh polis macam-macam. Adalah mustahil Anwar lupa, tetapi beliau pasti ada niat buruk dengan sengaja mahu melanggar peraturan berkempen.

Sebenarnya pihak polis tidak perlu tunggu lebih dua hari untuk bertindak. Sepatutnya di hari yang sama juga polis perlu bertindak menghentikan ceramah tanpa permit tanpa mengira siapa. Kerana itu, ada orang PKR sudah mendabik dada mengatakan polis takut menghentikan ceramah PKR terutama di mana Anwar berada. Kalau sudah tiga hari baru nak ambil tindakan, nampak sangat dakwaan anggota PKR itu ada betulnya.

Selepas ini, Anwar akan bawa bekas presiden Indonesia, Abddurrahman Wahid (Gus Dur) dan pemimpin Kumpulan Islam Nahdlatul Ulama untuk turut sama berceramah menyokong apa saja dakwaan Anwar terutama pastinya turut menafikan kes liwat Saiful yang mereka tidak tahu apa pun akan hal itu.

Pengaruh orang-orang gagal dari luar negara termasuk Estrada sebenarnya tidak laku di Malaysia. Mereka sudah gagal di negara masing-masing tetapi sibuk pula mahu membantu orang gagal di Malaysia untuk memenuhi naluri Anwar yang kelihatan amat terdesak.

Begitu juga dengan tindakan Mohd Saiful Bukhari Azlan bermubahalah dijadikan isu di pentas-pentas ceramah Anwar di mana beliau sibuk membuat kecaman dan mengejek Saiful. Terus menerus Anwar menyatakan enggan bersumpah bagi menyambut cabaran Saiful. Sebenarnya itulah peluang bagi Anwar menyatakan kebenarannya.

Tetapi ramai berpendapat Anwar tidak mungkin berani kerana tahu betapa kesannya dari akad sumpah laknat itu. Beliau lebih sanggup mengekalkan keraguan orang ramai kerana dia tahu jika dia bersumpah, sumpah itu akan memakan dirinya kerana dia sahaja yang tahu dia bersalah. Pada hal apa salahnya dia bersumpah? Kerana keenggannya itulah kepercayaan orang ramai semakin menebal bahawa memang benar Anwar meliwat Saiful.

Fokus Anwar terhadap kempen yang sepatutnya membentangkan 'manifesto'nya kepada penduduk Permatang Pauh sudah lari daripada landasan kerana dia sibuk mahu menerangkan yang dia tidak bersalah dan semua yang berlaku antara dia dengan Saiful adalah konspirasi semata-mata. Dalam hal ini, Anwar sudah hilang kejantanannya berpolitik yang hanya menjurus kepada beliau tidak bersalah dan meyakinkan orang ramai bahawa dia akan jadi perdana menteri tidak lama lagi.

Untuk menjadi perdana menteri bukan itu caranya. Anwar sudah tersasar jauh hingga Presiden PAS pun kata Anwar berangan-angan Mat Jenin. Masakan rakyat negara ini yang sudah begitu bertamadun mahu menerima Anwar sebagai perdana menteri Mat Jenin yang penuh dengan mitosnya menjadi lebih daripada kedudukan seorang raja.

Raja yang menyokongnya pun sudah jatuh ke tahap Raja Paria. Dedahan dari peguam terkenal, Datuk Muhammad Shafee Abdullah terhadap Raja Petra Paria pun sudah ke paras siasatan polis dan Anwar juga harus bersedia untuk membela Raja tajaannya itu.

Keganasan yang berlaku di Permatang Pauh semasa dan sedang kempen ini pun Anwar masih berselindung mahu menafikan ia dilakukan oleh orang PKR. Walaupun Anwar mengatakan siapa pun boleh pakai baju dan topi PKR, itu alasan yang semua orang sudah tahu. Itulah modal Anwar untuk menutup kelemahannya.

Pemimpin yang baik tidak menafikan terus sesuatu perkara, tetapi akan mengatakan akan siasat dan mengeluarkan kata-kata nasihat. Maka dalam perkara ini, Anwar memang bukan seorang pemimpin bermoral tinggi. Dia hanya seorang pemimpin yang suka menggumpul orang salah dan kalah membawa imej buruk partinya sendiri.

Read more...

Kalau benar, bersumpahlah… tunggu apa lagi?-Malaysiakini

Monday, August 18, 2008

BAIK sahaja Mohd Saiful Bukhari Azlan bersumpah, mengakui apa yang selama ini masih menjadi teka-teki, sepatutnya empunya diri, yang bernama Datuk Seri Anwar Ibrahim – selama-lamanya, menganggap (baca: mengajak orang ramai jangan mempercayai) semua tuduhan itu adalah konspirasi – bukan sekali bersumpah, malahan, berkali-kali dan di merata tempat.

"Kalau kita benar, kita tidak bersalah, kita difitnah, kita dihina, kita ditohmah… sekaranglah masanya yang paling sesuai, bersumpah seperti orang yang mendakwa bersumpah, memegang al-Quran di mana-mana sahaja, bila-bila masa, untuk membuktikan kita benar!" kata seorang pemandu teksi di Permatang Pasir.

Menurutnya, kenapa harus berdolak-dalik. Kenapa harus mengaitkan Perdana Menteri. Mengapa harus menuding jari kepada orang lain. Datuk Seri (Anwar Ibrahim) perlu mengaku sahaja dia terlibat dan apa yang dituduh itu benar, jika tidak sanggup bersumpah.

"Saya tidak bersetuju orang lain mencabar Datuk Seri (Anwar Ibrahim) supaya bersumpah tetapi saya mengharap sangat Datuk Seri (Anwar Ibrahim) sendiri bangkit mempertahanan dirinya dari tuduhan yang cukup menjijikkan ini.

"Jika tidak, lebih baik mencontohi bekas Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek ketikatimbul dakwaan tersebar rakaman video adegan dia dengan seorang perempuan… dia tampil membuktikan dia seorang lelaki sejati dengan mengatakan… 'sayalah orangnya'.

"Amatlah malang bagi pengundi di Permatang Pauh yang akan membuang undi pada 26 Ogos ini jika mereka terus keliru dengan status Datuk Seri (Anwar Ibrahim) yang mungkin selepas ini disabitkan dengan tuduhan meliwat," sambung pemandu teksi yang sudah tiga kali mengundi Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail.

Katanya lagi, kali ini dia akan mengundi lawan Datuk Seri Anwar kerana tidak mahu terus tertipu dengan kata-kata dan pidato yang berapi-api, sedangkan diri sendiri penuh dengan najis.

"Sebagai seorang yang beragama Islam, apa pun cakap orang terhadap Mohd Saiful Bukhari, hati saya tetap mengatakan bahawa sumpah yang dia lakukan di dalam masjid (rumah Allah) dengan memegang al-Quran ada kekuatannya.

"Mustahil Mohd Saiful Bukhari tidak mempunyai asas yang kuat untuk melakukan sesuatu yang cukup berat untuk dilakukan. Keberaniannya itu jauh lebih hebat dari keberanian Datuk Seri Anwar Ibrahim yang kononnya sanggup berdepan dengan sesiapa sahaja tetapi menjadi tikusapabila diajak bersumpah," katanya.

Memetik pandangan bekas Mufti Kedah, Datuk Paduka Sheikh Abdul Majid Mohd Noor, apa yang dilakukan Mohd Saiful Bukhari bukan sesuatu yang pelik malahan ia pernah berlaku di zaman Rasullullah.

Beliau berkata, apa yang dilakukan Mohd Saiful Bukhari merupakan salah satu daripada cara untuk dia memberitahu kepada masyarakat bahawa dakwaannya mengenai perbuatan bekas majikannya (Datuk Seri Anwar Ibrahim) itu adalah benar.

"Mohd Saiful Bukhari telah menuduh Anwar dengan tuduhan yang amat berat. Dia sanggup untuk bersumpah bagi memberitahu bahawa dakwaannya itu adalah benar. Dan dalam perkara ini memang dia ada hak untuk berbuat demikian.

"Oleh itu saya berpendapat Anwar juga perlu melakukan perkara yang sama kerana beliau merupakan pihak yang kena tuduh. Sewajarnya Anwar melakukan sumpah laknat. Perkara seterusnya kita serahkan kepada Allah," dia dipetik sebagai berkata.

Walau apapun Anwar mahu menepis sumpah laknak yang dilakukan Mohd Saiful Bukhari, perkara pokoknya ialah sama ada dia bersalah atau tidak. Soal pendakwaan di mahkamah dan kes yang dibawanya ke Mahkamah Syariah, tidak ada kena mengena dengan sumpah ini, tetapi dari segi moralnya, Anwar kena jelaskan apakah dia buat atau tidak!

Sehubungan dengan itu, beberapa pihak bersetuju jika Anwar melakukan sumpah laknat di mana-mana masjid di dalam kawasan Parlimen Permatang Pauh.

Walaupun ramai yang sudah hilang kepercayaan terhadap Anwar, namun ramai yang percaya bekas Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Mohd Ezam Mohd Nor dan bekas Ahli Majlis Tertinggi (MT) Keadilan, Datuk S. Nallakaruppan juga boleh membantu pengundi Permatang Pauh 'mengenali keperibadian' Anwar dengan lebih dekat lagi.

Kedua-dua orang yang rapat dengan Anwar ini tidak pernah diserang oleh Anwar dan Dr Wan Azizah Ismail kerana 'mereka berdua mempunyai rakaman' penuh perangai dan sifat peribadi Anwar.

Khabarnya, Ahli Parlimen Gombak, Mohd Azmin Ali juga sedang menunggu masa untuk 'dibogelkan' oleh kedua-dua bekas 'sahabat' ini.

Read more...

Benarkah Anwar tidak bermusuh dengan Umno?-Malaysiakini

Monday, August 11, 2008

Oleh Fuad Rahim

BEKAS Perdana Menteri (PM), Tun Dr. Mahathir Mohamad meramalkan bekas Timbalan Perdana Menteri (TPM), yang dipecatnya, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan menang di Permatang Pauh, 26 Ogos ini kerana Barisan Nasional (BN) tidak mempunyai calon yang hebat untuk berhadapan dengan Anwar.

Bercakap di Terengganu, bekas PM yang sudah keluar dari Umno ini, seterusnya menyindir, soalnya apakah majoriti akan bertambah atau berkurangan. Jika bertambah, bukan kerana Anwar itu hebat tetapi BN sudah semakin merosot sokongan, tetapi kalau berkurangan, bukan kerana BN itu kuat tetapi Anwar tidak mendapat lawan yang setanding.

Bila saya membaca berita itu, timbul rasa kesihan di hati saya terhadap Dr. Mahathir. Dia pernah kalah dalam pilihan raya tahun 1969, menyebabkan dia menulis surat kepada PM Tunku Abdul Rahman supaya meletakkan jawatan.

Dalam masa yang sama, Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat pula mendakwa ada orang dalam Umno, mengkhianati Anwar dan mahukan Anwar tewas di Permatang Pauh. Entah dari mana Nik Aziz dapat maklumat ini, tiada siapa yang tahu tetapi di kalangan orang- orang Umno, mereka tahu, Anwar yang mengkhianati dirinya sendiri. Hal ini, Exco Kerajaan Negeri Kelantan, Datuk Husam Musa yang mengiringi Anwar di Mahkamah ketika didakwa, Isnin lepas mengetahuinya serta perlu melaporkan kepada bossnya, Nik Aziz.

Husam boleh dapat maklumat itu, dari Anwar sendiri, keana kebiasaannya bila seseorang seperti Husam rapat dengan Anwar, macam-macam maklumat dia boleh dapat. Sama ada maklumat itu betul atau tidak, Husam kena tapis dulu. Jangan terus lapor! Bahaya.

Kebetulan, ketika timbul cerita Muzakarah dan Muqabalah, orang Pas yang dilihat terlalu menentang usaha persefahaman Melayu dan Islam itu ialah Husam. Malahan, Husam dilihat membayangkan Umno itu lebih bahaya dari DAP. Mungkin juga Anwar mahukan Husam menentang usaha tersebut. Bila Husam menentang, tentunya Nik Aziz pun tentang. Kalau Husam setuju, tentunya Nik Aziz setuju. Bukankah Husam dan Nik Aziz itu macam janggut dengan dagu – mereka rapat.

Dalam PKR, hubungan Anwar dengan Azmin juga dilihat cukup rapat. Lebih rapat dari janggut dan dagu. Kalau cukur janggut, berdarah dagu! Rapatnya – memang rapat. Kalau tidak rapat, tidak mungkin Mohd Ezam Mohd Nor dan Datuk Nallakarupan meninggalkan PKR – meninggalkan Anwar yang mereka sanjungi selama ini.

Ketika Bar Council beria-ia sangat mahu meneruskan forum mengenai 'memeluk Islam', tidak kedengaran langsung suara Anwar Ibrahim menghalang usaha ini – malahan, dia dipetik sebagai berkata di Petaling Jaya, mahu mengajak Umno berma'aruf, sekaligus mengambarkan dia tidak ada masalah dengan Umno.

Ada pemimpin Pas yang tidak faham apa makna berma'aruf yang Anwar maksudkan. Bukan main hebat Anwar dalam 'hal bercakap Arab' sampai orang yang mengaji Arab, fasih bercakap Arab, tidak faham apa yang Anwar maksudkan.

Tidak tahulah, apakah ilmu Anwar lebih tinggi dari ilmu pemimpin Pas atau ilmu pemimpin Pas tidak setanding dengan ilmu Anwar. Kena rujuk dengan Azmin Ali hal-hal tidak faham ini, supaya Azmin boleh menerangkan, bagi pihak Anwar.

Dalam hal yang sama, Amerika Syarikat juga dilihat menegur Malaysia kerana kes Anwar Ibrahim – menunjukkan bahawa ketika banyak perkara lain yang perlu diberikan perhatian, nama Anwar menjadi fokus setiap orang di Malaysia, dan kini dari Amerika Syarikat. Amerika Syarikat tidak pernah ambil tahu jika ada rakyat Malaysia susah atau tidak makan, yang mereka bimbangkan, sahabat rapat mereka, Anwar Ibrahim.

Apakah orang-orang Melayu di Permatang Pauh suka menjadi 'alat dan perkakas Amerika Syarikat' sebagai mana Anwar kini menjadi 'budak Amerika Syarikar'?

Ketika pengundi di Permatang Pauh menghadapi kesukaran, apakah Nik Aziz, Dr. Mahathir, Amerika Syarikat dan Husam Musa berada di sisi mereka? Ketika ini, Bar Council dan Hindraf nampaknya 'menjadi kura-kura yang mahu memanjat pokok yang sudah tumbang', memetik kata-kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, Amerika Syarikat dan yang lain-lain di mana?

Ketika Anwar mahu menampakkan dia tidak bermusuh dengan Umno tetapi hakikatnya,segala tindak-tanduknya selama ini, benar-benar membuktikan Anwar sebenarnya 'mahu membunuh Umno' malahan, memperlekehkan semua usaha Umno demi mempertahankan ketuanan Melayu di negara ini.

Lebih menyedihkan, ada budak-budak higusan dalam PKR, bertempik kononnya Umno bukan lagi memperjuangkan hak-hak Melayu. Bila Umno hilang kuasa, bukan Melayu yang hilang kuasa. Mereka tidak Nampak apa-apa, melainkan di depan mereka, suara dan janji Anwar Ibrahim untuk memperjuangkan kesamarataan setiap bangsa di negara ini.

Kebencian budak-budak PKR kepada Umno, menyebabkan mereka tidak nampak bahawa Umno itulah yang menyebabkan mereka semua kenal huruf sekarang ini. Mereka buat-buat tidak tahu, bahawa Umnolah yang menyebabkan Anwar Ibrahim poipular sekarang ini. Mereka tidak sedar, tanpa Umno tidak mungkin Anwar boleh menjadi Timbalan Perdana Menteri. Tanpa Umno, Anwar tidak mungkin sehebat hari ini, walaupun dia sedang bekerja keras mahu 'membunuh' Umno.

Budak-budak PKR merasakan, dengan bertempik menentang Umno, mereka mendapat sokongan Pas dan DAP. Sebenarnya, Pas dan DAP memperalatkan budak-budak yang tidak tahu apa-apa ini supaya menyerang Umno, menimbulkan keraguan orang ramai kepada Umno dan memburuk-burukkan Umno. Bila Umno tumbang, budak-budak ini bukan boleh jadi Perdana Menteri, bukan boleh jadi Menteri Besar, sebaliknya, mereka dilantik menjadi budak-budak yang mengusung sepanduk berarark di tepi-tepi jalan, memaki Perdana Menteri dari kalangan orang Melayu.

Budak-budak ini tidak tahu, musuh mereka sebenarnya bukan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi. Musuh mereka bukan Datuk Seri Najib Tun Razak. Musuh mereka sebenarnya Lim Kit Siang, Karpal Singh dan Lim Guan Eng. Tetapi disebabkan budak-budak ini dikelirukan – dijanjikan bahawa Anwar akan jadi PM, maka mereka 'menyalak'. Karpal Singh, Kit Siang dan Guan Eng hidup selesa sekarang, kerana mereka berjaya mengalihkan serangan 'budak-budak Melayu' kepada kepimpinan BN –Umno dan bukan kepada mereka, yang jelas tidak membuat apa pun demi kepentingan Melayu.

Read more...

Kisah Mazlan Harun bela kuda dan laporan BPR yang dibuatnya-Malaysiakini

Saturday, August 9, 2008

Oleh Mohamad Ansar Saifuddin

TIBA-TIBA ada beberapa orang yang mahu dikenali sebagai veteran Umno, menyerahkan laporan ke Badan Pencegah Rasuah (BPR) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur mengenai apa yang didakwa penyalahgunaan kuasa oleh pemimpin tertinggi Umno.

Veteran itu, dikenali dengan nama Datuk Mazlan Datuk Harun, anak kepada seorang bekas Menteri Besar Selangor dan katanya diiringi seorang lelaki berkulit hitam, bernama Datuk Kadar Shah Tun Sulaiman, anak kepada seorang bekas Pengerusi Tetap Umno.

Khabarnya, sms disebarkan sehari sebelum itu, mengajak ahli-ahli Umno bersama-sama mengiringi Mazlan dan Kadar Shah, dibuat oleh seorang bekas Pegawai Khas kepada Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein Onn (anak kepada Tun Hussein Onn) dan seorang lagi, anak kepada seorang bekas Timbalan Perdana Menteri, yang cukup terkenal kerana sering 'baling batu sembunyi tangan'.

Inilah serba sedikit yang boleh disebut dalam tulisan ini, kerana kesemua nama-nama yang disebut (termasuk yang tidak disebut) adalah mereka yang hidup kaya raya, mungkin kerana Umno (yang menyebabkan mereka jadi kaya raya) dan mungkin juga kerana kepandaian mereka berniaga ketika Umno dan beberapa orang tertentu, yang rapat dengan mereka, sedang berkuasa.

Khabarnya, mereka ini semuanya 'suka kepada Tengku Razaleigh Hamzah' untuk bertanding kerusi Presiden Umno dalam pemilihan hujung tahun ini.

Entah betul entahkan tidak, nama Kadar Shah ditulis pula sebagai Ketua Umno Bahagian Muar oleh sebuah akhbar tempatan sedangkan, Kadar Shah tidak pernah menjadi Ketua Umno Bahagian Muar, tetapi Allahyarham bapanya, Tun Sulaiman Ninam Shah memang pernah mengetuai Umno Bahagian Muar, berbelas tahun lamanya.

Menurut ceritanya, laporan tersebut adalah berdasarkan surat terbuka yang dihantar oleh Ketua Umno Bahagian PetalingJaya Selatan, Datuk Kapten (B) Zahar Hashim kepada Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor yang meminta pemimpin berkenaan dikenakan tindakan tatatertib atas penyalahgunaan kuasa.

Maka, Mazlan yang sudah lama 'ke sana ke mari' termasuk ke Pulau-Pulau di Terengganu atas urusan peribadi dan perniagaannya tiba-tiba bangkit dari 'era berbulan madu' untuk "saya menaruh segala kepercayaan kepada pihak BPR untuk menyiasat kes terbabit."

Di mana orang-orang ini, ketika Umno menghadapi pilihan raya? Ke mana orang-orang ini ketika Umno menerima serangan dari rakan-rakan parti komponen BN? Di mana orang-orang ini ketika bangsa asing menyerang ketuanan Melayu. Ke mana orang-orang ini ketika kepimpinan Umno sedang berusaha menarik balik sokongan dan keyakinan rakyat kepada BN?

Adakah mereka di Pejabat BPR? Adakah mereka di Balai Polis? Atau mereka duduk selesa, mengumpat dan mengata-ngata kepimpinan tidak pernah buat betul, tidak pernah buat baik dan semuanya kepimpinan, khususnya Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi tidak betul, tidak kuat, lemah dan tidak berkemampuan untuk terus menerajui negara dan parti.

Di mana mereka bersembang, tentulah di tempat-tempat mewah kerana mereka ini sudah kaya raya, sejak zaman 'orang-orang tertentu' memegang kuasa dahulu.

Yang mereka nampak, (barangkali), Pak Lah perlu digantikan dengan Tengku Razaleigh Hamzah. Yang peliknya, ada antara mereka, menjadi penyokong Tengku Razaleigh ketika ini sahaja, ketika Tengku Razaleigh mahu bertanding. Ketika tidak ada pertandingan, mereka pun malas nak ke Pejabat BPR, bersebelahan dengan Bangunan Dayabumi, kat Kuala Lumpur itu.

Rakyat (baca: orang Melayu) di kampung-kampung, yang tidak ada membela kuda seperti Mazlan membela kuda, yang tidak memakai rantai leher dan gelang tangan seperti Kadar Shah pakai, yang tidak beristerikan seorang ratu cantik sebenarnya amat mencintai Umno kerana jasa Umno kepada bangsa Melayu lebih dari apa yang dirasai 'anak-anak bekas pemimpin ini' dan perasaan bekas Pegawai Khas Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Mereka, mahu terus bersama-sama Umno, tetapi mereka kini dikelirukan dengan perjuangan 'orang yang suka membaling batu sembunyi tangan'. Mereka ini (anak kepada bekas pemimpin) semuanya pernah berjawatan di peringkat bahagian kecuali Kadar Shah yang tewas dalam beberapa kali percubaan mahu menjadi Ketua Umno Bahagian Muar, sudah tidak diterima oleh cawangan-cawangan Umno di bahagian masing-masing.

Kalau mereka masih hebat, kenapa mereka tidak mahu bertanding? Takut kalah sebenarnya… bukan tidak berminat atau mahu memberi peluang kepada muka-muka baru atau orang yang lebih muda sebenarnya.

Bekas Pegawai Khas Datuk Seri Hishammuddin juga pernah kalah di salah satu bahagian dalam usahanya mahu menjadi ketua bahagian.

Cukuplah. Sudah semakin ramai orang bercakap soal bapa mereka, walaupun tanpa bukti, kerana ia sedikit sebanyak akan menyebabkan suasana tidak harmoni sesama sendiri.

Ketika Datuk Seri Najib Tun Razak ke Subang Jaya, bertemu dengan kepimpinan Umno Negeri Selangor di sebuah hotel berdekatan sebuah pusat perubatan, ada beberapa sepanduk dipasang yang berbunti 'sokong peralihan kuasa – Najib Presiden, Muhyiddin Timbalan Presiden'. Kerja siapakah ini kalau bukan kerja orang yang 'bila dah buat, terus ke luar negara' kerana banyak duit, hidup kaya raya dan boleh upah budak-budak buat kerja ini.

Datuk Seri Najib mungkin suka semua ini, tetapi tiada siapa pun pernah mendengar Najib berkata; "buatlah."

Para pengiring Mazlan ke Pejabat BPR Wilayah Persekutuan, sepatutnya pergi ke rumah Mazlan di Tanah Merah, Sungai Buloh. Tengok berapa puluh hektar tapak tanah rumahnya itu dan ada berapa orang pekerja yang bekerja menjaga kuda-kudanya. Yang mengiringi Mazlan, bukan sahaja tidak ada kuda, malahan, nak beli kacang kuda pun nak kena minta duit dari orang lain.

Harakahdaily turut melaporkan, kisah laporan BPR ini bagi memberi gambaran bahawa Umno 'bergolak'.

Read more...

PERALIHAN KUASA: RAFIDAH SUDAH BUKTIKAN, HISHAMUDDIN PULA BILA? -Malaysiakini

Thursday, August 7, 2008

Oleh Abang Mahmor

Ketua Wanita UMNO, Tan Sri Rafidah Aziz sudah pun menjejaki langkah pucuk kepimpinan parti Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan Datuk Seri Najib Tun Razak menamakan tarikh peralihan kuasa masing-masing. Walaupun Rafidah telah menamakan tarikh yang agak janggal bagi wanita untuk diserahkan kepada Naib Ketuanya, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil, tetapi sekurang-kurangnya ia memperlihatkan satu permulaan yang sihat dan bermakna dalam erti elak persengketaan merebut jawatan sayap penting itu.

Satu lagi sayap yang turut sama penting dalam kepimpinan parti Melayu seunggul UMNO ialah Pergerakan Pemudanya yang belum lagi menampakkan ada muafakat dalam pelan tindakan menjejaki langkah pucuk pimpinan dan wanita ini. Sekarang sudah sah bahawa Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein akan bertanding jawatan Naib Presiden, maka eloklah beliau mengambil langkah sama untuk membuat pengumuman peralihan kuasa kepada Naib Ketua, Khairy Jamaluddin supaya kedua-dua sayap penting UMNO ini tidak berpecah.

Sekiranya ini boleh berlaku dan Hishamuddin sanggup selaraskan dengan sayap wanita menjejaki pelan peralihan dari pucuk kepimpinan UMNO, pastinya ia akan meredakan suasana berkempen dari kalangan penyokong untuk menerima hakikat bahawa UMNO mempunyai caranya yang tersendiri dalam membentuk hireiki kepimpinan menerusi persefahman pekerti.

Cara ini bukanlah untuk menafikan hak calon lain yang merasakan mereka berhak mengamalkan demokrasi melalui pertandingan merebut jawatan, tetapi demokrasi lebih dilihat dalam skop yang lebih luas dalam pilihan raya kecil dan umum. Oleh kerana dalam sesebuah parti tidak disebut pilihan raya tetapi disebut pemilihan, ia boleh dihadkan mengikut cara diskrisi ketua sayap masing-masing mencorakkan trend aliran selaras dengan pelan peralihan yang dibentuk dari pucuk kepimpinan yang rata-rata telah menerima cara itu adalah yang terbaik buat ketika ini.

Melihatkan pergolakan di peringkat cawangan sahaja sudah cukup kita dibendung dengan perebutan jawatan yang berlangsung dengan pelbagai bentuk perpecahan berlaku dan sikap berpuak-puak berlaku dengan sendirinya apabila sesuatu jawatan itu menjadi rebutan. Pelbagai taktik kotor juga digunakan untuk merangsang ke arah politik wang dan fitnah memfitnah yang membawa kepada tergugatnya kesejahteraan setempat.

Ada sesetengah tempat itu sudah pun diterjah Badan Pencegah Rasuah (BPR) untuk membendung gejala politik wang dan tidak kurang pula pergaduhan kecil berlaku yang tidak sepatutnya berlaku dalam tamadun ini. Sekiranya amalan penyerahan kuasa ini menurut hireiki dan senioriti di semua peringkat bermula dari peringkat cawangan, seterusnya bahagian hingga ke peringkat tertinggi, nescaya UMNO yang rata-rata Melayu tidak bergolak.

Malahan cara ini dilihat cukup sihat dan mempunyai hikmah tersembunyi yang mana permuafakatan tercipta yang tentunya ia mengekalkan keharuman pertubuhan Melayu dalam satu rumpun yang dihormati kaum-kaum lain sama.

Lebih-lebih lagi buat ketika ini apabila satu persatu yang bermula dari pelan peralihan yang dilakukan oleh Presiden dan Timbalan Presiden UMNO, sudah sepatutnya disambut oleh pihak yang memahami pelan peralihan ini secara total yang sekurang-kurangnya ada ketentuan bila dan siapa yang akan mengambilalih kepimpinan di peringkat tertentu. Bagaimanapun oleh kerana lapis naib presiden dan EXCO barisan sayap penting UMNO seperti Wanita dan Pemuda perlu dipertandingkan, ia merupakan satu team baru yang bertindak menjadi alat mencari keputusan secara kolektif kepada ketua masing-masing.

Lapisan ini penting untuk dibentuk melalui pertandingan. Begitu juga dengan jawatankuasa di peringkat bahagian dan cawangan perlu turut dipertandingkan bagi memberi nafas baru kepada pemimpin sedia ada atau yang belum sedia berundur.

Oleh yang demikian, jika contoh ini dapat dilakukan dalam Pergerakan Pemuda di mana Hishamuddin dengan berani dan tulus menyertai peralihan kuasa sepertimana diharapkan presiden dan timbalan presiden mungkin, maka terlaksanalah pelan peralihan mega yang diuar-uarkan. Tentunya juga dengan mengambil sikap sedemikian, Hishamuddin yang akan merebut kerusi naib presiden akan dilihat lebih berpotensi daripada membiarkan pergolakan perebutan jawatan yang bakal ditinggalkan berlaku.

Jika dibandingkan Hishamuddin dengan Rafidah, latar belakang masing-masing amat berbeza. Ia umpama antara langit dengan bumi. Rafidah meletakkan tarikh menyerah kuasa kepada Shahrizat pada tarikh yang membenarkan dirinya dikritik kerana beliau tidak bertanding apa-apa jawatan lagi dalam UMNO Disember akan datang. Beliau juga dikenali seorang yang degil dan tidak keterlaluan dikatakan berkepala batu dan cakapnya sahaja yang perlu dituruti.

Hishamuddin pula bukan begitu sifatnya dan nescaya lebih rasional dan berpandangan jauh serta tidak mudah 'melawan tauke' dalam membawa dirinya sentiasa dilihat selamat dalam apa jua keadaan. Semoga Hihamuddin dapat memikirkan perkara ini sedalam-dalamnya bagi menentukan haluan pemuda yang bakal ditinggalkan tidak berpuak-puak.

Read more...

Mukhriz dah angkat bendera putih-Malaysiakini

Tuesday, August 5, 2008

Oleh : Man Pemuda Baling

Pemilihan UMNO ada lagi empat bulan lagi , jangka masa yang panjang juga, Namun agak hairan apabila harimau berantai anak kepada Tun DrMahahthir seolah-olah mengangkat tangan dan telah memulakan serangan-serangan peribadi walaupun tidak menujukan kepada sesiapa tetapiseolah-olah rangka-rangka serangan telah pun siap untuk diluahkan.

Mukhriz mungkin silap kerana terlalu tergesa-gesa membuat pengumuman untuk bertanding kerusi ketua pemuda UMNO dan ketika pengumuman dibuat senario UMNO ketika itu masih tidak waras dan banyak sentimen-sentimen nafsu yang bergolak. Maklumlah anak muda yang mengikut dan dikelilingi juga oleh orang-orang muda, Rakyat memerhatikan apakah yang dilakukan oleh pemimpin mereka dan apa yang mereka dapat lihat adalah Mukhriz menghabiskan banyak masa untuk menyerang pemimpin dalaman UMNO ketika UMNO dilanda kemelut piliharaya tanpa melakukan kerja-kerja yang boleh membangunkan bangsa dan UMNO itu sendiri,

Rakyat menyadari hakikat itu , khususnya pemuda UMNO mereka kini mahu menterjemahkan ketidakpuasan hati terhadap Mukhriz dalam pemilihan pemuda UMNO yang akan datang. Menurut laporan akar umbi ,Mukhriz mungkin gagal untuk mendapat pencalonan yang cukup dari pemuda UMNO dan ini disah sendiri oleh Mukhriz dengan menyatakan bahawa ada kong kali kong dalam pemilihan peringkat Pemuda UMNO dicawangan-cawangan yang kesannya boleh buat beliau sukar dapat jumlah pencalonan yang mencukupi untuk bertanding jawatan Ketua Pemuda UMNO Malaysia.

Bercakap kepada para wartawan selepas mengadakan mesyuarat dengan ahli-ahli UMNO cawangan Jitra Sabtu. Exco Pergerakan Pemuda UMNO mendakwa kawasan-kawasan yang menyokongnya juga sudah goyang akibatgejala politik wang dan penyelewengan dalam pemilihan itu di seluruhnegara. Antara penyelewengan yang dimaksudkannya ialah mesyuarat tidak cukup korum, kehadiran ahli atau wakil yang tidak dikenali, ahli hadir sama menghadiri mesyuarat di dua cawangan berbeza serta terdapat senarai ahli baru selain daripada senarai yang ditentukan pada mesyuarat pada akhir tahun lalu

Namun ini hanyalah alasan yang mungkin di reka cipta oleh Mukhriz untuk menyedapkan hatinya dan hakikatnya sememangnya Mukhriz akan dihukum oleh perwakilan Pemuda keatas kebiadaban beliau terhadap pemimpin tertinggi UMNO dan juga Perdana Menteri yang lebih jauh lama berpolitik dari Mukhriz sendiri. Hakikat ini juga dirasakan oleh pasangan kembar Mukhriz , Dr Khir Toyo yang kini agak menyurukkan kuku beliau kerana telah menyedari kelantangan beliau sebeanrnya tidak disukai oleh ramai Pemuda-pemuda UMNO. Dr Khir Toyo juga dikatakan akan ditolak oleh Pemuda UMNO Selangor sendiri dan beliau kemungkinan mengalamai nasib yang sama dengan Mukhriz.

Read more...

Tidak mustahil BN tawan Kubu Anwar-Malaysiakini

Kalah atau menang adalah perkara yang kedua dan yang penting BN perlu memberikan tentangan kepada Awar Ibrahim dan BN perlu mengambil kesempatan ini untuk turun padang dan menerangkan kepada pengundi Permatang Pauh bahawa pilihanraya bukanlah satu-satunya gelanggang untuk mencari kepopulariti mahu pun bukanlah tempat untuk agenda politik peribadi sesebuah keluarga. Bn juga perlu memberi penerangan yang lebih jelas kepada hard core Anwar ini bahawa politik juga bukanlah perisai untuk melepaskan diri dari kasalahan jenayah yang dilakukan oleh rakyat Malaysia.


Mungkin agak sukar untuk melakukan di Kubu kuat PKR ini tetapi ianya tidak pula mustahil untuk dilakukan kerana dengan usaha dan keihklasan mungkin usaha ini akan berjaya. Jika ianya tidak berjaya sepenuhnya , ianya dapat merubahkan sedikit hati hard core Anwar inisudah mencukupi. BN adalah under dog di Permatang pauh dan BN juga tidak tertekan jika kalah di Permatang Pauh , Namun jika BN dapat mengurangkan pengaruh Anwar di Permatang Pauh ini sudah merupakan satu kejayaan kepada kerajaan BN.

Tidak mustahil juga BN akan dapat mengalahkan Anwar di Permatang Pauh ini dengan mendedahkan semua penipuan dan tingkah laku Anwar kepada penyokong beliau dan inilah masa yang paling baik untuk menekan Anwar dan PKR untuk membuktikan dan menafikan segala penipuan mereka kepada rakyat. Kesempatan ini perlu digunakan oleh BN dengan baik kerana inilah merupakan satu hikmah kepada Kerajaan BN kerana berpeluang bersekemuka dengan penyokong kuat Anwar Ibrahim.

BN perlu bersatu dalam menghadapi pilihanraya kecil ini kerana itu adalah asas yang kuat BN selama ini dan pemipin-pemimpin BN perlu melaksanakan tanggungajwab dengan penuh komitment kerana dengan komitment kepimpinan UMNO pasti Anwar dan PKR dapat di tumbangkan diKubu beliau sendiri dan kemenangan ini tentulah amat manis sekali untuk dikenang dan merupakan hadiah yang istimewa buat penyokong yang setia kepada BN.

BN hanya perlu mencari calon yang lebih baik keperibadiannya dari Anwar Ibrahim dan setiap ahli BN perlu memberikan sokongan padu kepada calon berkenaan. Sokongan bekas ahli PKR juga diperlukan untuk membantu BN untuk merobekkan kubu kuat Anwar ini, sekiranya ini berjalan dengan lancar. Insyaalah Permatang Pauh akan kembali ketangan BN. Selamat bertanding .......

Read more...

Kenapa Muhyiddin tidak cukup keberanian?-Malaysiakini

Monday, August 4, 2008

BERITA TV3, petang Ahad, 3 Ogos 2008 yang lalu, tidak mahu saya tonton kalau boleh apabila mendengar pembaca berita menyampaikan berita bahawa Naib Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin (TSMY), hanya sanggup mempertahankan kerusi Naib Presiden, tanpa mahu merubah kedudukannya itu.


Beberapa bulan lalu, TSMY adalah satu-satunya pemimpin Umno yang dilihat cukup berani bercakap soal kepimpinan yang memerlukan perubahan dan dia membayangkan akan bertanding jawatan yang lebih tinggi dari kedudukannya sekarang.


Entah macam mana, tiba-tiba, selepas 12 calon menyatakan kesediaan menawarkan diri, TSMY tiba-tiba terbayang kedudukannya yang tidak selamat jika dia bertanding jawatan lebih tinggi, setelah Datuk Seri Najib Tun Razak nampaknya selesa dengan pelan peralihan kuasa yang dijangka berlaku dalam bulan Jun, 2010.


TSMY sebenarnya lebih baik jika menawarkan diri bertanding jawatan Timbalan Presiden sekarang kerana, seperti kata mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad, peluang untuk Najib mempertahankan kerusinya itu agak sukar kerana dia (Najib) dikatakan seorang pemimpin yang penakut.


Pilihan kedua; jika TSMY merasakan dia sudah tidak boleh lagi bekerja di bawah Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, yang digambarkan punca pelbagai masalah hingga menyebabkan BN hilang majoriti 2/3, melepaskan jawatannya sebagai Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri dan bebas untuk bertanding sebarang jawatan dalam Umno.


Malahan, TSMY juga boleh bersekongkol dengan Tengku Razaleigh Hamzah (TR) yang teringin mencabar Presiden Umno, untuk merebut jawatan nombor satu dan nombor dua dalam parti.


Banyak pihak merasakan TSMY dipermainkan seseorang yang berjanji mahu 'berakit' dengannya untuk merebut jawatan nombor satu dan nombor dua dalam parti. Apabila 'pasangannya' itu juga tiba-tiba menukar fikiran dan menjadi penakut, angin serupa terpaksa 'dihirup sama' TSMY yang kelihatan terkapai-kapai, dalam membuat keputusan.


Ada pihak menjangkakan, TSMY bukan sahaja sukar menang malahan, ada yang meramalkan TSMY mungkin gagal mendapat cukup percalonan untuk bertanding Naib Presiden – bersaing dengan Datuk Seri Syed Hamid Albar, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan Datuk Seri Mohd Khaled Nordin, kesemuanya calon-calon dari Johor.


Kata mereka, saingan paling dekat dengan TSMY selain tiga nama dari Johor itu ialah, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Mohd Shafie Afdal, di kalangan calon muka baru disamping pencabar terapat, Tan Sri Mohamad Isa Abdul Samad (TSI) dan Datuk Seri Mohd Ali Rustam.


Setakat ini beberapa pihak tidak menolak terus nama Tan Sri Muhammad Muhd Taib, Tan Sri Abdul Rahim Tamby Chik, Datuk Seri Shahidan Kassim dan Datuk Seri Dr. Rais Yatim. Masing-masing masih mempunyai peluang, walaupun tipis.


Sejarah pemilihan lalu membuktikan dari tiga penyandang, akan ada satu yang keluar (baca: terkeluar). Contoh paling ketara, pemilihan tahun 1996, TSMY terkeluar, sedangkan dua penyandang kekal, iaitu Najib dan Muhammad manakala Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi 'masuk' balik selepas tewas dalam tahun 1993.


Pemilihan tahun 2000, TSMY masuk balik manakala dua penyandang kekal, iaitu Najib dan Muhammad. Yang keluar dari 'barisan Naib' ialah Pak Lah kerana dilantik menjadi Timbalan Perdana Menteri dan kemudiannya menang kerusi Timbalan Presiden Umno.


Pemilihan tahun 2004, TSMY kekal, Najib naik pangkat ke kerusi Timbalan Presiden, manakala Muhammad tewas. Maka, pemilihan tahun 2008, dari tiga yang mempertahankan jawatan, TSI, Ali Rustam dan TSMY, ramai yang menjangkakan TSMY akan terkeluar. Jika tidak berhati-hati, Ali juga akan ditimpa nasib yang sama – walaupun dia bukan pencabar sebenar!


Tidak hairanlah kalau ada yang meramalkan TSI, Hishammuddin dan Zahid akan menang kali ini. Tetapi dalam masa yang sama, ada juga menjangkakan Zahid, Khaled dan TSI. Tidak kurang juga mendoakan supaya TSI, Syed Hamid dan Khaled menang – memperlihatkan masing-masing mahukan kedudukan Pak Lah selama dua tahun ke hadapan selesa dan tidak ada gangguan.


Ketika TSMY 'menegur kepimpinan', bukan sedikit orang-orang Pak Lah yang menyampah dengan TSMY. Kata mereka, jika TSMY membayangkan dia cukup sayangkan Umno, bukanlah bermakna Pak Lah tidak sayangkan Umno. Ketika TSMY mengatakan Umno perlu diperkuatkan, bukanlah bermakna Pak Lah tidak berbuat sesuatu untuk memperkuatkan Umno.


Kata mereka; "bukan TSMY seorang sahaja yang sayangkan Umno. Bukan TSMY seorang sahaja yang kecewa dengan prestasi BN dalam PRU 12. Bukan TSMY sahaja yang sedih dengan apa yang berlaku. Malahan, Pak Lah lebih sedih lagi. Pak Lah lebih sugul dari apa yang TSMY rasakan. Cuma, cara Pak Lah bertindak, bukan dengan menyalahkan orang lain, sebaliknya memikul tanggungjawab itu sepenuhnya."


Ketika ada beberapa cawangan cuba mencalonkan Najib, TR dan TSMY sebagai Presiden Umno, sebenarnya 95 peratus cawangan-cawangan yang bermesyuarat mahukan Pak Lah dikekalkan sebagai Presiden Umno.


Suara 5 peratus cawangan yang mendapat liputan beberapa media itu, sebenarnya suara 'budak-budak nakal' yang tidak tahu berpolilitik. Mereka terikut-ikut dengan suara seorang dua pemimpin Umno, termasuk suara TR dan suara TSMY kononnya pelan peralihan kuasa perlu disegerakan. Aapakah, jika ikut kehendak TSMY dan TR, dengan pengunduran Pak Lah dalam masa terdekat, Umno akan kembali kuat?


Lebih baik, masa dan tenaga yang ada sekarang digunakan untuk berhadapan dengan PKR yang akan bertanding menentang BN dalam Pilihan Raya Kecil Parlimen Permatang Pauh, tidak lama lagi. TSMY dan TR, jangan menjauhkan diri dari kempen-kempen ini kerana tenaga mereka, kepakaran mereka mengenai kepimpinan, harga minyak yang mahu diturunkan, harga barang-barang keperluan yang semakin 'menajam' memerlukan 'suntikan' idea TSMY dan TR yang sering mendakwa mereka lebih hebat dari orang lain.
Ayuh, buktikan di Permatang Pauh!

Read more...

MUKHRIZ TAK PERLU BIMBANG, REZEKI ITU DI TANGAN ALLAH-Malaysiakini

Pilu pula dengar EXCO Pemuda yang juga Ahli Parlimen Jerlun, Datuk Mukhriz anaknda kepada Tun Mahathir menyatakan bimbangnya tidak dapat bertanding jawatan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO nanti yang didakwanya atas sebab berlaku penyelewengan dan politik wang di peringkat cawangan.

Beliau mengeluh bukan sahaja di forum pertemuan pemuda, malah di mana-mana beliau pergi dan dengan siapa sahaja beliau bertemu. Keluhannya itu mendapat simpati ramai tetapi sekadar simpati sahaja yang diharapkan simpati itu dapat membantu beliau meraih pencalonan di saat-saat akhir.

Namun Mukhriz secara tidak langsung memberikan alasan awal yang tidak baik kerana dakwaannya itu sebenarnya kenyataan orang lemah. Dari awal lagi sudah tunjuk pelbagai kelemahan yang membuatkan bukan sahaja dari kalangan pemuda di semua peringkat, malah orang yang tidak ada kena mengena dengan pencalonan atau yang menjadi perwakilan pun mengakui Mukhriz sudah terlilap langkah dari awal-awal lagi.

Semua orang tahu bahawa Mukhriz mengekori ayahndanya membuat desakan supaya Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi meletakkan jawatan sebaik sahaja diisyitiharkan Ahli Parlimen Jerlun. Suaranya kedengaran di mana-mana hingga ramai yang meluat dengan kenyataannya itu hairan kenapa beliau tidak dipecat daripada UMNO atas sifat tidak bersetia kawan dalam sebuah parti.

Malahan Mukhriz pernah memanggil sidang akhbar mengumumkan khas dengan kata-kata cabaran beliau akan keluar dari UMNO jika Pak Lah tidak berhenti sehingga bulan Julai 2008. Sekarang sudah masuk Ogos. Kenapa masih lagi tidak berhenti saja daripada UMNO?

Atau beliau mempunyai rancangan untuk memohon EOT (Extention of Time) hingga akhir bulan September atau November pula? Inilah yang dikatakan sudahlah lemah, tidak sedar dari keluarga parti mana beliau dilahirkan dan atas tikit apa yang beliau dapat anugerah kebesaran dan segala kemewahan yang ada pada dirinya sekarang!

Sifat beliau terbawa-bawa sebagai anak terlalu muda dalam pemuda menjadikan Mukhriz memang sudah hilang kelayakan dari awal lagi dan semua itu menjadi perhitungan pemuda di semua peringkat mengukur dirinya dari kelompok apakah beliau yang cuba meniti jambatan emas yang rapuh sekali. Cabaran-cabarannya juga sekarang sudah menjadi buah mulut orang - bila lagi Mukhriz nak tinggalkan UMNO kerana Pak Lah masih jadi Perdana Menteri?

Kalau setakat mahu menuduh pasal penyelewengan, politik wang, orang main kayu tiga, ada orang potong jalan, orang lain main taktik kotor dan sebagainya, memang layaklah beliau akhirnya terpaksa merintih dengan sesalan yang tidak nampak sahihnya lagi itu dengan alasan-alasan yang berupa pepatah, kalau tak sampai untuk memetik buahnya, janganlah kata buah itu tidak enak dimakan.

Perkara paling penting untuk Mukhriz fahami dan ketahui ialah pentas yang mana Datuk berada hari ini adalah pentas politik di mana ukuran sebagai seorang pemimpin muda untuk mengetuai Pergerakan Pemuda UMNO ialah semestinya orang bukan dari kalangan kaki lawan tauke. Pemimpin itu mestilah juga dari kalangan pemimpin yang pernah dipimpin dengan baik, dalam hatinya tidak mempunyai bintik-bintik perasaan wasangka terhadap orang lain, tidak mudah mencabar dan tidak melaksanakan cabaran itu selain daripada mempunyai visi yang tinggi untuk ditanggung semampu-mampunya.

Sebaik sahaja Mukhriz mula menuduh orang lain menyeleweng, dengan sendirinya rakan-rakan lain yang bertanding seperti Datuk Seri Mohd Khir Toyo dan Datuk Zahidi Zainul Abidin adalah orang yang dalam senarai dituduh,. Oleh kerana masing-masing mempunyai penyokong dan pengaruh, nama Mukhriz berdentum merudum ke pangkal senarai. Mereka itulah yang Mukhriz maksudkan. Kalau tidak, siapa lagi?

Dalam pada itu, pandai pun Mukhriz menyebut rezeki itu di tangan Allah. Sepatutnya kalau benarlah beliau tidak dapat pencalonan yang cukup, redzailah dengan sambutan bersyukur dan masa masih panjang untuk beliau diberikan petunjuk bagaimana untuk menjadi rakyat yang baik dan ikhlas terlebih dulu sebelum diberi sesuatu mandat penting untuk memimpin.

Juga Mukhriz harus sedar bahawa kalau ayahnya seorang guru besar, tidak semesti anaknya juga perlu jadi guru di sekolah yang sama. Bahkan untuk jadi ketua darjah pun tidak semestinya kerana ayahnya guru besar kerana kriteria menjadi ketua darjah juga memerlukan karisma dan kemampuan yang tidak sepatutnya dipilih kerana siapa ayahnya untuk diberi pilihan menjadi ketua darjah mahupun memegang jawatan pengawas sekolah.

Read more...

RAKSASABN HOT VIDEO

Followers

  © Blogger templates Newspaper by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP