Sanusi Junid : Antara fantasi dan ilusi ~ Malaysiakini

Thursday, December 11, 2008

Oleh Zainal Yusof

SUDAH agak lama nama Tan Sri Sanusi Junid dilupakan. Dia hanya dikenang, bila ada orang bercakap mengenai Mat Jenin, atau sejarah kejatuhan Umno/BN di Kedah sebelum era kepimpinan Datuk Seri Mahdzir Khalid.

Tiba-tiba, dia kembali bersuara. Dia bersuara dalam sebuah akhbar tabloid (Buletin Rakyat Bil 68 – 15 Disember 2008), mengenai 'sumbangan Khairy Jamaluddin' ke arah kejatuhan Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Di mana dia bercakap? Di rumah Datuk Idris Tulis, seorang penerbit akhbar tabloid yang tidak jemu mempromosi dirinya sendiri, sebagai seorang yang begitu penting dalam sejarah perdamaian antara Perdana Menteri pertama, Almarhum Tunku Abdul Rahman dengan Perdana Menteri keempat, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Kenapa Sanusi masih mahu bercakap, sedangkan dia sudah tidak mempunyai apa-apa jawatan dalam kerajaan dan parti sekarang, mungkin sudah ramai yang tahu kerana dia tidak mahu ditinggalkan sejarah yang semakin melupakannya.

Malahan, kemarahannya kerana ditamatkan tempoh perkhidmatannya di UIA masih belum reda. Seolah-olah, Sanusi merasakan dia tidak boleh ditamatkan dari jawatannya kerana tidak ada seorang pun yang mampu menandingi kehebatannya.

Itu yang dia rasa. Tetapi, orang lain tidak merasakan begitu. Hebat manalah Sanusi Junid ini jika dibandingkan dengan orang lain. Tidak ada hebatnya. Cuma, dia bercita-cita menjadi hero Acheh di Malaysia tetapi dia sendiri tahu, tiada siapa mahu mengikhtirafnya kerana dia sebenarnya tidak hebat mana.

Dia bolehkah berbohong dengan orang lain, kononnya dia banyak ilmu kerana banyak membaca tetapi ilmunya itu untuk dirinya seorang sahaja. Ilmu yang dia miliki tidak berguna kepada orang lain, kecuali ketika dia mahu menyindir orang yang dia tidak suka.

Sesiapa yang pernah berkawan dengan Sanusi, mereka akan tahu, bekas Menteri Besar Kedah ini adalah seorang pemimpin yang suka bercakap banyak, tetapi bekerja, tidak ada apa yang boleh dibanggakan. Dia sudah puas bergaduh dengan semua orang, termasuk mereka di Kedah, kini dia ingin mengajak KJ pula bergaduh dengannya.

Tentulah KJ tidak minat bergaduh dengan Sanusi, kerana KJ memang jenis orang muda yang tidak mahu berlaku tidak sopan kepada orang tua.

Malahan, ketika dia dibelasah hebat oleh Tun Dr. Mahathir, dia memilih untuk berdiam diri daripada dianggap biadap kerana melawan cakap orang yang lebih tua darinya.

Disebabkan Sanusi merasakan dia sudah habis idea hendak bergaduh dengan orang lain, maka dia ambil keputusan untuk mengusik KJ. Dia puji Datuk Mukhriz Mahathir yang kononnya paling berani kerana menulis surat meminta Perdana Menteri berundur, Sanusi memang sukakan perkara 'biadap' seperti ini dalam hidupnya.

Dosanya yang paling besar, ketika menjadi MB Kedah dia melaga-lagakan pemimpin-pemimpin bahagian di Kedah. Dihasutnya mereka supaya berlawan sama sendiri. Mulutnya, berpura-pura baik, tetapi hatinya, semua orang Kedah tahu. Sanusi jangan cuba menafikannya kerana dia boleh berbohong sekali dua, tetapi jangan berbohong selalu sangat, kerana orang tahu siapa dia sebenarnya.

Ingat idea-idea mengarutnya yang menghabiskan wang Kerajaan Negeri Kedah dahulu? Apa jadi dengan pusat penyembelihan korban, pertandingan mencabut uban, main bola di kawasan masjid, kampong buku di Lubuk Sembilang dan tanam padi atas bumbung?

Sebenarnya, kalau sesiapa yang rajin bertanya kepada pegawai-pegawai kerajaan Negeri Kedah, mereka boleh bercerita betapa teruknya Sanusi Junid ketika menjadi MB Kedah. Tidak hairanlah kalau dia dikalahkan di Langkawi sebagai Ketua Umno Bahagian dan sampai hari ini, bukan sahaja dia tidak berjaya menjadi Ketua Bahagian semula, malahan mahu menjadi pemeriksa kira-kira sekali pun dia gagal.

Kalau dia hebat sangat, tidaklah BN di Kedah kalah teruk dalam tahun 1999 dahulu. Lapan dari 15 kerusi Parlimen BN terlepas ke tangan Pas. Dia terpaksa meletakkan jawatannya sebagai MB kerana Dr. Mahathir marahkan dia. Dia malukan Dr. Mahathir yang datang dari Kedah, tetapi Umno dan BN di Kedah, jahanam!

Memang Sanusi mempunyai kelebihan, kalau bercakap orang tidak kering gusi dibuatnya. Itu taktik Sanusi mahukan orang Melayu mendengar ceramahnya. Padahal, isinya, hanyalah susunan lawak jenaka yang tidak ada apa-apa faedah kepada bangsa Melayu.

Hari ini dia merasakan Datuk Seri Abdullah tidak sepatutnya menjadi Perdana Menteri. Baginya, dialah yang patut menjadi Perdana Menteri. Padahal, ketika dia dilantik menjadi Setiausaha Agung Umno, Umno diharamkan di mahkamah.

Bayangkan, kalau dia menjadi Perdana Menteri, entah apa pula yang diharamkan di Mahkamah.

Suka atau tidak suka, Sanusi kena akui, kerana dialah Parti Melayu Semangat 46 ditubuhkan. Memanglah dia bekerja untuk menyelamatkan Dr. Mahathir dari diganggu gugat Tengku Razaleigh Hamzah tetapi, dia sanggup mengorbankan Umno demi niatnya mengampu bossnya, yang bernama Dr. Mahathir Mohamad.

Hari ini, dia mengutuk sesiapa yang mempertahankan Datuk Seri Abdullah. Kononnya, sesiapa yang mempertahankan Abdullah, mereka hanya mahu menjaga hati Abdullah. Sanusi tidak Nampak keperluan mempertahankan institusi kePresidenan Umno kerana dia (Sanusi) terikut-ikut suara dan rentak bekas bossnya, Dr. Mahathir Mohamad.

Hari ini, Sanusi akan mengatakan sesiapa yang bersama Dr. Mahathir akan menang dan diterima rakyat. Itulah sebabnya, bila Mukhriz menawarkan diri bertanding jawatan Ketua Pergerakan Pemuda Umno, dia meramalkan Mukhriz akan menang. Kerana, Mukhriz sealiran dengan perjuangan Dr. Mahathir dan perjuangan Sanusi Junid.

Hari ini, sudah ada anak-anak muda tertanya-tanya siapa Sanusi Junid ini. Perlukah namanya disebut lagi kerana sejarahnya tidak ada yang baik untuk Umno dan kerajaan. Yang ada, dia banyak menceritakan keburukan Umno dan pemimpin-pemimpin. Dulu, ketika berlaku pertandingan antara Dr. Mahathir-Tengku Razaleigh, kononnya dialah yang menjadi heronya tetapi, hakikatnya dialah yang menjadi penyebab Umno diharamkan.

Tidak hairanlah rakyat Kedah menolaknya. Tidak hairanlah ahli-ahli Umno di Langkawi melupakannya, menolak kepimpinannya. Mereka tahu, manusia bernama Sanusi Junid ini hanya berguna kepada keluarganya sahaja tetapi langsung tidak berguna kepada parti dan orang-orang Melayu, khususnya di Kedah.

Dr. Mahathir pun bukan mengkaguminya sangat. Itulah sebabnya, ketika ramai Menteri yang dipindah-pindahkan kementerian, Sanusi hanya sempat menjadi Menteri di dua Kementerian, iaitu Kementerian Pembangunan Negara dan Luar Bandar dan kemudiannya Kementerian Pertanian.

Mungkin Dr. Mahathir tidak kagum dengan bakat yang ada pada Sanusi dan membiarkan dia (Sanusi) bergelumang dengan tukun tiruan dan tayar-tayar buruk yang dia (Sanusi) minati, selain kisah beruk dan kelapa muda.

Dr. Mahathir mahu membiarkan Sanusi terus dengan fantasi dan ilusi… yang tidak langsung memberikan apa-apa faedah kepada bangsa Melayu di negara ini.

1 comments:

Anonymous said...

Dah tak laku dan ditolak, dia cuba mencari perhatian lagi dengan harapan orang akan menilai dia sebagai seseorang yang penting kot. Tak habis2 lagi mencari pasal tu.

RAKSASABN HOT VIDEO

Followers

  © Blogger templates Newspaper by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP