PEMUDA PATUT TOLAK KHIR DEMI MEMBAIKI IMEJ UMNO ~ Malaysiakini

Tuesday, December 2, 2008

Oleh Salim Selamat

Puas saya fikir kenapa Datuk Seri Khir Toyo berkehendakkan sangat jawatan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO. Pada hal peluang beliau untuk mempertahankan Negeri Selangor sudah terlepas ke tangan PKR. Tidak terbayang di fikiran saya yang setelah menghadapi kegagalan yang begitu besar kepada BN dan kerajaan, beliau masih lagi mempunyai nafsu untuk memimpin Pemuda UMNO.

Saya yakin bahawa warga Selangor jelek dengan banyak perkara. Mungkin tidak semua rakyat Selangor tahu pasal pengambilan tanah, kecurangan kewangan atau kesilapan pentadbiran, tetapi pastinya semua tahu pasal sikap angkuhnya ketika berdepan dengan rakyat.

Khabarnya adalah berbeza ketika menemui Khir di pejabat dan Khir di luar pejabat. Ketika lawatan, mukanya manis, kata-katanya menawan. Tetapi apabila menerima rakyat di pejabat, Khir tidak semesra di luar. Malah pahit untuk bertemu beliau di pejabat kerana pembantu-pembantunya akan menyanggupi semua masalah rakyat yang berkunjung ke pejabat. Tetapi tidak pernah selesai. Kalau selesaipun, tidak sesempurna mana.

Mengenai Khir memberi anugerah penyapu kepada pegawai tinggi kerajaan yang juga pegawai di bawah beliau, bukan sahaja rakyat Selangor yang tahu, tetapi seluruh negara tahu. Itulah satu-satunya perbuatan yang si penerimanya rasa cukup terhina dan mungkin telah menanam satu perasaan benci terhadap Khir terlalu mendalam.

Tidak boleh dibayangkan bagaimana Khir melayan pegawai dan kaki tangan bawahan agaknya. Mungkin lebih teruk dari itu. Khabarnya ketika Khir 'jatuh', ramai kaki tangan kerajaan Selangor yang seronok. Ada yang sedekah pisang di masjid dan tidak kurang yang menganjurkan kenduri kesyukuran.

Tambah lagi apabila wajahnya tiba-tiba bertukar menjadi bukan wajahnya yang asli. Walaupun semua orang tahu beliau melakukan rawatan botok, tetapi jawapannya kepada rakyat melalui media, beliau banyak makan tempe secara tidak langsung beliau sendiri memberitahu rakyat bahawa dia seorang pembohong besar.

Bagi Khir yang sekarang ini menjadi ketua pembangkang di Dewan Undangan Negeri adalah satu kenaikan pangkat yang lebih besar dari jawatan menteri besar agaknya. Sebenarnya tuhan saja yang tahu betapa malunya dia berdepan dengan pembangkang yang beliau hina sebelum ini.

Kegagalan Khir mempertahankan Negeri Selangor adalah berpunca dari kegagalan beliau mentadbir, gagal mengawal aktiviti wakil rakyatnya, gagal memberikan perkhidmatan kepada rakyat dari segala segi. Justeru beliau adalah ternyata seorang pemimpin yang memakai tengkolok gagal semata-mata.

Dalam pada itu, masih ada hati pula mahu mengetuai pergerakan pemuda untuk membela nasib orang Melayu konon, Baru sekaranglah beliau mahu kata mahu menjadi pejuang untuk orang Melayu melalui pergerakan pemuda pula. Dan tergamak pula pemuda bahagian mencalonkan beliau untuk jawatan itu lagi memberi muka kepada beliau yang membawa semacam punya maksud yang tersirat di sanubarinya.

Ramai sedar dan percaya dan lebih-lebih lagi yang terlibat, kalau Khir tak tabur duit, namanya tidak akan naik di akhir-akhir pencalonan untuk jawatan Ketua Pemuda. Dengan mendapat pencalonan layak untuk jawatan itu, tidak hairanlah beliau akan terus 'menabur' untuk mendapatkan undi pula. Oleh kerana beliau diketahui memang kaya raya hasil 'duit datang dari langit', perwakilan pemuda atau G2 mengerumuni beliau mengambil kesempatan. Namun, ia tetap tidak menjanjikan undi.

Kalau perwakilan memilih juga Khir, bererti kredibiliti seluruh pergerakan pemuda ternyata sedang melakukan kesilapan besar dalam usaha UMNO mencari pemimpin bersih menyokong kepimpinan atasan membaiki UMNO yang dikatakan sudah rosak.

2 comments:

Anonymous said...

KT Perasuah. Penipu.

Anonymous said...

Terfikir juga kenapa Khir Toyo beriya-iya sangat nakkan jawatan Ketua Pemuda UMNO sedangkan beliau gagal dalam melaksanakan yang terbaik untuk penduduk Selangor... Agak-agak kenapa ek?

RAKSASABN HOT VIDEO

Followers

  © Blogger templates Newspaper by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP