Menyelami Sumber Dana Calon Ketua Pemuda UMNO Malaysia~ Malaysiakini

Friday, October 31, 2008

Umum mengetahui suka atau tidak politik wang memang dipraktikkan oleh semua calon Ketua Pemuda. Tak guna-lah sesiapa pun cuba menyelindung dosa mana-mana calon. Tapi tren pencalonan untuk ketiga-tiga calon Ketua Pemuda UMNO Malaysia menimbulkan tanda tanya mengenai apakah sebabnya kadar pencalonan Berani Berubah Mukhriz Mahathir kian hambar berbanding awal musim pencalonan dahulu. Kes angka pencalonan Khir Toyo pula terbalik – secara tiba-tiba melonjak tinggi ke angka 47 walhal sebelumnya Khir dilihat berkemungkinan tidak layak bertanding PAU Mac nanti.

Tren sebegini menunjukkan kelainan strategi mainan politik wang yang digunakan ketiga-tiga calon. Jika benarlah rata-rata para perwakilan mencalonkan mana-mana individu berdasarkan kebolehan masing-masing, fenomena aneh seperti yang terjadi sekarang tak logik berlaku. Contohnya, jika slogan Berani Berubah itu benar-benar menambat hati para perwakilan, nescaya momentum awal Mukhriz pastinya telah melihat beliau melepasi angka pencalonan 100 sekarang ini. Tetapi tidak; yang jadinya Khir Toyo yang PR akar umbinya disegani kawan dan lawan pula yang mengambil-alih momentum Mukhriz. Kadar pencalonan Khairy Jamaluddin pula tampak agak konsisten, sungguhpun dikatakan kurang digemari para perwakilan akar umbi kerana perwatakannya yang agak elit ala-Oxford walaupun kepintaran dan karismanya tidak dapat dinafikan.

Barangkali Mukhriz banyak 'menabur' pada awal musim pencalonan dan berjaya mendominasi peringkat awal; kem Khairy dikhabarkan kurang memberi wang berbanding dua lawannya (mungkin ketandusan dana semenjak bapa mertuanya melepaskan jawatan Menteri Kewangan); taktik Khir Toyo pula agak drastik – membelanjakan jumlah wang yang besar pada 'second half' untuk mengejutkan para penyokong Mukhriz dan Khairy di Bahagian-bahagian seperti Bukit Bintang, PJU, Sipitang dan Balik Pulau.

Dana Khir Toyo kita sedia maklum datangnya dari komisen projek-projek sewaktu menjadi MB Selangor dahulu – Syabas, Lebar Daun – serta proksi-proksinya lain seperti Wijaya Corp yang dipimpin Ketua Pemuda Kapar Faizal Abdullah. Khairy tak payah ceritalah, siapa pun dah tahu. Sumber dana Mukhriz pula agak kabur sedikit, walaupun ternyata bapanya dan abangnya Mokhzani pasti membantu.

Namun, dengan pendedahan syarikat subsidiari syarikat Mokhzani, Kencana Mermaid Drilling Sdn Bhd sebagai penerima kontrak carigali terbaru Petronas bernilai USD235 juta (RM, harapan Mukhriz untuk meraih kedudukan Ketua Pemuda tampak lebih cerah kerana 'kos' menjelang bulan Mac nanti akan jauh lebih tinggi daripada 'kos' musim pencalonan yang telah hampir tamat ini.

Yang peliknya, Kencana Mermaid ini bukannya syarikat carigali dan tidak langsung mempunyai sebarang rekod dalam usaha mencarigali. Apakah wajar Kencana Mermaid dianugerahkan kontrak sebegitu besar ini, terutamanya tatkala ekonomi Malaysia dan industri petroleum sedunia yang kurang stabil dengan harga turun naik mendadak?

Maruah dan kepentingan bangsa dan negara tidak boleh diketepikan untuk mana-mana calon. Penulis akan tetap mengkritik sesiapa sahaja yang dilihat mencabul prinsip ini, serta mengetengahkan kisah-kisah rasuah, skandal dan korupsi terhina.

Read more...

Berani Berubah - Setelah Layak Bertanding, Adakah Slogan Mukhriz Yang Akan Berubah?- Malaysiakini

Tuesday, October 28, 2008



Di dalam dunia politik UMNO yang seringkali mengikut rentak semasa yang tidak menentu, slogan Berani Berubah yang dijulang dan dilaungkan oleh calon Ketua Pemuda UMNO Mukhriz telah memberinya personaliti dan aura baru. Slogan ini menambat hati akar umbi, golongan muda Malaysia serta ramai pemerhati UMNO.

Ini terbukti dengan 66 pencalonan yang berjaya diraih setakat ini oleh anak ketiga kepada mantan Presiden UMNO ini. Selain daripada menumpang sentimen positif ayahnya, slogan ini telah sedikit sebanyak mencorakkan kempen Mukhriz.

Slogan ini begitu penting dalam kempen Ketua Pemuda Mukhriz kerana dia tidak pernah menerangkan dengan terperinci apa maksud sebenar wawasan, halatuju dan pengisian yang akan dibawanya kepada Pemuda UMNO.

Mungkin selain dari slogan, ramai juga yang tertarik kepada Mukhriz kerana dia begitu lantang dalam menyuarakan keperluan Pemuda untuk berani menyuarakan pendapat sendiri, memperjuangkan agendanya sendiri dan tidak tunduk kepada pucuk pimpinan.

Namun, apa yang menyedihkan ialah maklumbalas pertama Mukhriz mengenai pencalonan dari Pekan banyak menidakkan ketelusan dan kejujurannya dalam membuat kritikan terhadap pucuk pimpinan.

Soalan yang terzahir daripada maklum balas yang banyak memuji Dato Seri Najib Razak termasuk: Adakah Mukhriz sudah mula bermain politik dengan pucuk pimpinan? Adakah dia kini 'berhutang; dengan bakal Presiden? Adakah Mukhriz selama ini hanya mengikut telunjuk ayahnya yang mengkritik Presiden UMNO, Dato Seri Abdullah Badawi kerana kepentingan sendiri dan bukan UMNO?

Semalam, ramai yang masih percaya walaupun dia sekarang mendampingi pucuk pimpinan, sekurang-kurangnya dia akan terus membawa kepimpinan perubahan sebagai agendanya.

Justeru, ramai penyokong Mukhriz termasuk penulis yang berasa kesal dan terkejut dengan keputusannya untuk tidak mahu turut serta dalam debat yang dicadangkan untuk calon-calon Ketua Pemuda. Alasannya bahawa dia tidak mahu memburukkan parti tidak masuk akal kerana dia dan ayahnya begitu lantang memburukkan parti sejak awal tahun ini. Tidak perlu landasan debat pun untuk mengkritik parti.

Yang disangkakan Khir Toyo atau Khairy Jamaluddin, dua calon yang dilanda masalah persepsi yang akan menentang debat ini, tetapi rupanya Mukhriz, yang dianggap sebagai pemimpin perubahan positif yang bersembunyi.

Sejak kebelakangan ini, Mukhriz banyak berkata bahawa kejayaannya disebabkan oleh akar umbi. Jika dia akur dengan pendapat akar umbi dia perlu menerima pandangan dari suara Pemuda seperti Khairuddin Ketua Pemuda Pahang, Rozabil Ketua Pemuda Perlis, serta ramai barisan Ketua Pemuda yang lain. Kalau Mukhriz benar-benar percaya dengan ucapannya sendiri bahawa perwakilan mempunyai kematangan untuk memilih, adakah dia tidak percaya dengan kematangan calon-calon Ketua Pemuda termasuknya untuk menggunakan landasan ini untuk menerangkan visi dan halatuju dan bukan untuk memburukkan parti?

Jika dia benar-benar calon akar umbi, adilkah jika dia tidak mahu berkongsi pendapatnya dengan seluruh warga Malaysia dan UMNO?. Adakah definisi akar umbi Mukhriz terhad kepada Ketua Pemuda dan perwakilan yang ditemuinya? Bagaimana pula dengan ahli biasa cawangan? Mereka tidak berhak atau layak untuk mendengar pandangannya yang bernas?

Mukhriz harus sedar pencalonan tidak bermakna kemenangan, ayahandanya sendiri hampir kalah di tangan Tengku Razaleigh Hamzah pada pemilihan UMNO tahun 1987 walaupun mendapat lebih daripada 80% daripada pencalonan dari bahagian-bahagian UMNO. Tan Sri Isa Samad dan Dato Ali Rustam juga tidak menerima pencalonan yang banyak pada tahun 2004 jika dibandingkan dengan Tan Sri Muhyiddin, Tan Sri Mohd Taib dan Dato Mustapa Mohd. Tetapi apa kesudahannya?. Tun Mahathir hanya menang dengan majoriti 43 undi!

Kini kita berada di persimpangan pertama sebelum mana-mana calon Pemuda ditabal Ketua Pemuda, dan di persimpangan inilah Mukhriz perlu sedar dia menanggung beban dan tanggungjawab untuk meneruskan debat kerana inilah 'hutang' yang perlu dibayar untuk menggunakan slogan yang begitu kuat, untuk menggunakan akar umbi sebagai faktor kejayaannya.

Mukhriz telah menjanjikan perubahan, dan dengan itu dia perlu membawa perubahan ini. Adakkah ia wujud sebagai omong omong kosong sahaja?.

Pemuda pra Pilihanraya Umum ke-13 perlu benar-benar berani melakukan perubahan. Debat ini merupakan perubahan yang ditagihkan oleh akar umbi dan rakyat Malaysia secara keseluruhan. Sedangkan pemimpin lama seperti Dato Shahidan Kassim bersetuju untuk calon Pemuda berdebat, kenapa Mukhriz tidak berani berubah?

Jika dia enggan untuk berubah fikiran mengenai debat ini, perwakilan dari Bahagian yang mencalonkannya sudah pasti mampu melakukan perubahan apabila mengundi kelak. Soalan yang bermain di dalam pemikiran pengamal dan pemerhati politik tanahair untuk beberapa hari ini – Beranikah Mukhriz? atau yang mampu berubah hanyalah slogannya?

Read more...

KALAU NAJIB NAK SELAMAT, LANTIK MAHATHIR JADI PENASIHAT KERAJAAN~Malaysiakini

Tuesday, October 21, 2008

Oleh Sabrani Muin



Patutnya, semasa Tun Mahathir melepaskan jawatan dan menyerahkannya kepada Datuk Seri Abdullah dulu, ahli-ahli kabinet duduk bersidang mencari fomula supaya Mahathir diberi tempat dalam pemerintahan sekurang-kurangnya wujudkan satu jawatan sebagai Penasihat Kerajaan Malaysia yang bertaraf sama dengan Menteri Kanan Singapura Lee Kuan Yew.

Kerana itulah bila Mahathir tidak diberi hak apa-apa dalam kerajaan sebagai penasihat misalnya, tentulah dia akan nampak perkara-perkara yang dia belum sempat buat atau tidak buat lagi dan membaca segala cacat cela dalam pentadibiran perdana menteri baru.


Akan ada sajalah yang tak kena padanya. Alangkan semasa dia belum jadi perdana menteri dulu pun Mahathir sudah jadi tukang kritik perdana menteri. Inikan pula dia sudah jadi perdana menteri terlama dan masih sihat lagi untuk aktif, pastinyalah dia akan membuat teguran-teguran dari luar yang lebih bebas.


Semasa Mahathir jadi PM, tidak siapa berani membuat teguran. Tegur saja, akan kena masuk bilik bekulah dia atau pun akan dibenam dalam mana-mana lembah yang orang tak nampak lagi. Amat berbeza di zaman Mahathir dan Pak Lah. Mahathir tidak boleh ditegur dan dia sahaja yang boleh menegur. Pak Lah pula boleh ditegur, boleh dicemuh dan boleh dilanyak cukup-cukup sesuai dalam zaman keghairahan cyber hari ini.


Pada Zaman Mahathir, kegunaan internet dan blog tidak begitu ghairah lagi. Ketika itu rakyat Malaysia hanya mahu cuba-cuba sahaja. Tetapi malangnya apabila sampai masa Pak Lah, perang cyber mula hebat dan terus hebat tanpa ada sekatan dari mana-mana pihak. Memang Pak Lah biarkan kerana itulah cara untuk mendapat feedback dari orang ramai yang paling jelas.

Dalam pada biarkan, ia meledak luas dan kebebasan yang diberi sudah menjadi luar jangkaan. Macam-macam maklumat betul, maklumat separuh betul dan benar-benar palsu boleh disebarkan dengan sewenang-wenangnya. Hinggakan untuk politik ia digunakan menjadi alat yang paling berkesan untuk berkempen.


Tidak hairanlah timbul blog yang pro dan yang anti. Hinggakan hari ini boleh dikatakan seluruh rakyat yang sudah celik IT telah mengambil kesempatan memberi maklumat, mencari peluang, membuka peluang, termasuk yang mencari peluang menipu pun ada hinggalah terbit begitu ramai penulis yang dulunya hanya membaca sahaja.


Tidak boleh dinafikan ini adalah kesan kemajuan yang paling ketara sekali dalam era Mahathir walaupun ia telah menjadi hairwire dalam dunia politik tanahair hari ini. Tetapi yang paling bahayanya ialah apabila Mahathir sendiri telah membuka blog untuk mengecam kepimpinan Pak Lah dan ahli kabinet yang tidak disukainya.


Ini tidak betul. Apabila dunia politik UMNO menjadi huru hara dek kerana 'jeritan' Mahathir di luar lingkungan kerajaan, maka negara-negara berkuasa besar melihat negara kita semakin mengecil. Tidak kurang yang memperkecilkan corak pemerintahan semasa. Sudahlah pembangkang memang kerjanya menghentam kerajaan, bekas perdana menteri pun hentam pemimpin kerajaan. Jadi, ia sudah menjadi terlalu berat untuk kerajaan mentadbir negara ini dengan lebih tenang dan sempurna.


Lantas ia menjadi alat yang menyebabkan BN kalah teruk dan gagal mencapai dua pertiga dalam pilihan raya umum ke-12 lalu. Sampai hati Mahathir tidak langsung mahu berkompromi membantu kerajaan yang telah ditinggalkan sedangkan masih menikmati pencen dari kerajaan lagi.


Ditambah pula dengan tindakannya menghasak Pak Lah supaya letak jawatan tidak henti-henti kemudian mengambil bahagian dalam mencaturkan siapa patut lawan Pak Lah dalam pemilihan UMNO nanti. Gangguannya hingga mendesak Najib dilihat tidak ikhlas pula apabila Mahathir dengan sekutunya terus menerus mahukan peralihan kuasa dipercepatkan.

Sudah dipercepatkan ke bulan Mac, tetapi masih tak puas hati lagi. Ada masanya Mahathir yakinkan Tengku Razaleigh supaya lawan Pak Lah rebut jawatan Presiden UMNO. Tetapi beliau cepat-cepat beralih kepada Najib semula setelah melihat Tengku Razaleigh tidak cukup tenaga untuk meraih pencalonan sepertimana diharapkan.


Boleh dikatakan gah di mana-mana kalau Tengku Razaleigh lepas pencalonan, Pak Lah akan kalah di tangan Ku Li. Tetapi Pak Lah sedar tidak ada gunanya beliau teruskan tugasnya dan lebih baik serah pada Najib bulan Mac ini. Lepas itu dia mahu tengok apakah Mahathir puas hati dengan cara pemerintahan Najib pula.


Najib akan selamat dan tidak akan dikritik kalau sama ada secara rasmi atau tidak rasmi melantik Mahathir sebagai Penasihat Agung kepada Kerajaan Malaysia sehingga akhir hayat Mahathir. Selepas itu, Pak Lah tidak akan dilantik menggantikan tempat itu kerana Najib tidak perlu penasihat kerana beliau sudah ada penasihat setianya yang semua orang tahu siapa.


Kalau Najib juga tidak lantik Mahathir yang berbentuk ketua kepada perdana menteri dalam apa juga nama atau gelaran yang berkuasa memberi nasihat yang mesti dipatuhi, Najib akan menerima padah lebih teruk daripada Pak Lah. Kalau ada umur, sama-samalah kita lihat.

Read more...

MAHATHIR TERUS MAHU JADI ORANG BERKUASA SEPERTI MENTERI KANAN SINGAPURA~Malaysiakini

Monday, October 20, 2008

Oleh Sabrani Muin

Sebenarnya bukan senang untuk Tun Dr Mahathir Mohamad mahu melupakan dirinya bukan lagi Perdana Menteri Malaysia – orang yang berpengaruh di rantau ini. Maklumlah, selama 22 tahun beliau memerintah negara ini. Begitu juga dengan UMNO, beliau telah mengalami macam-macam hal termasuklah pernah dipecat dan diterima semula sehinggalah dia berjaya jadi perdana menteri yang bagaikan tidak mahu dilepaskan langsung.

Hakikatnya Mahathir yang dikenali semua orang walaupun budak kecil hari ini, benar-benar telah menggunakan segala apa yang beliau perolehi terutama pengaruh untuk membuat percaturan dalam UMNO yang sehingga sekarang ini UMNO dilihat sudah tidak lagi mempunyai nilai pekerti, budai bahasa dan malu alah serta beretika semata-masa disebabkan macam-macam benda yang pada asalnya tidak lain dan tidak bukan dari tangan Mahathir.

Beliau lantik Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi (Pak Lah) menggantikan tempat beliau setelah mengenepikan beberapa orang penting di bawahnya termasuk Datuk Seri Anwar Ibrahim, Tan Sri Musa Hitam, Tengku Razaleith Hamzah, Tun Ghafar Baba dan barulah dengan mungkin cara terpaksa beliau menyerahkan kepada Pak Lah. Wal hal, beliau melepaskan jawatan itu dengan hati yang cukup berat, tuhan saja yang tahu. Kalau boleh memang dia mahu teruskan lagi tetapi beliau sedar ketika itu orang sudah semakin ramai yang menyampah dengan sikap cendekelnya.

Sebaik sahaja Pak Lah pegang jawatan Perdana Menteri, kesangsaraan Pak Lah bermula apabila Pak Lah tidak bebas melantik siapa timbalannya. Mahathir paksa Pak Lah ambil Datuk Seri Najib Tun Razak dan tentunya Pak Lah akur kerana Najib juga seorang yang berkelibar. Kemudian, ungkit pasal jambatan bengkok yang menghubung Malaysia – Singapura dan macam-macam Mahathir kutuk Pak Lah hingga peringkat menghina perdana menteri yang dilantik.
Berdirinya Pak Lah sebagai perdana menteri, bagaikan tidak diberi muka langsung dibuat dek Mahathir. Ada saja Pak Lah buat, semua beliau tidak puas hati. Sedangkan tidak sedikit pun Pak Lah menunjukkan dia tersinggung atau marah pada Mahathir mungkin sebagai menghormati orang yang telah berbudi kepadanya. Tetapi seterusnya Mahathir tidak duduk diam. Dia terus menghasak Pak Lah sampai ke dinding.

Akhirnya, prestasi Pak Lah menjadi merosot dan tugasannya amat terganggu. Mahathir terus melalak hingga bercakap di luar negara menyalak tanpa segan silu menjejaskan imej Malaysia di mata dunia. Kerana Mahathirlah pelabur asing bagaikan terbantut mahu terus melabur di Malaysia kerana bekas perdana menteri menghentam perdana menteri yang dia sendiri lantik. Di sini nampak ada yang tak kena dengan keadaan negara kita.

Mahathir bagaikan tidak ada bahasa langsung apabila bercakap mengenai Pak Lah yang terkial-kial mahu membaiki banyak perkara yang telah Mahathir rosakkan termasuk orang UMNO sendiri yang sekarang ini terus rosak dengan didikannya supaya melawan tuan. Zaman Tunku Abdul Rahman pun begitu juga sikap Mahathir yang kononnya dialah yang pandai mentadbir negara ini. Apabila sampai ke tangannya, Malaysia pun turut dirosakkan termasuk rosakkan UMNO apabila dialah yang memperkenalkan kuota pencalonan yang dia minta rongkah kembali.

Zaman dia, apa dia kata semua boleh. Zaman orang lain, apa orang buat, semuanya salah. Berkemungkinan besar dalam hati kecilnya, Mahathir mahu jadi Menteri Kanan seperti Singapura agaknya. Tetapi beliau nak cakap, malu. Kerana itulah dia melalak macam orang gila talak tak habis-habis.
Apabila Pak Lah buat tak peduli dengan lalakannya, dan dicabar Pak Lah supaya berhenti tak juga jalan, akhirnya dia keluar daripada UMNO. Sekarang ini, dia lupa yang dirinya bukan lagi ahli UMNO untuk dia bermuka-muka mencanaikan senarai pemerintahan dengan membuat pelbagai pakatan menggunakan pengaruhnya cara kebijaksanaannya memerangkap beberapa orang penting supaya ikut jejaknya menghasak Pak Lah. Lagaknya setaraf dengan Anwar Ibrahim. Sekurang-kurangnya, Anwar ada juga platform dengan partinya. Mahathir takde apa. Cuma PM pencen terpaksa saja.

Walaupun banyak kali dah Mahathir tidak mengaku memainkan peranan dalam usaha menjatuhkan Pak Lah melalui beberapa orang yang bagaikan 'terpaksa' akur cadangannya termasuklah Datuk Seri Najib Tun Razak, Tan Sri Tengku Razaleigh Hamzah dan akhir sekali Tan Sri Muhyiddin Yassin pakai buang cakap Mahathir bagaimana mahu buat supaya beri tekanan pada Pak Lah yang terpaksa mengubah beberapa agenda penting yang telah dipersetujui sebelum ini.

Apabila Pak Lah nampak macam degil, lagi Mahathir tidak tahan. Dan musim mesyuarat Bahagian yang bermula di musim raya ini, memang Mahathir mengambil peluang membuat lawatan ala 'road show' menayang wajahnya ke sana ke mari bercakap, berbual dan bermesra dengan semua orang penting memasukkan jarumnya yang boleh dikatakan macam menghasut secara tidak langsung. Betul-betul macam gaya kominis subversif.

Inilah juga peluang YB Datuk Mukhriz, anak harapan kesinambungan darah politiknya mengekori dari belakang hingga nampak jelas pada mata orang politik dan orang bukan politik bahawa Mahathir berkempen untuk anaknya supaya mendapat pencalonan terbanyak untuk merebut jawatan Ketua Pemuda UMNO akan datang nanti sambil beliau secara tak langsung dan halus bicaranya mempengaruhi menafikan kelayakan YB Khairy Jamaluddin dan Datuk Seri Khir Toyo sehingga Mukhriz menang dengan senang lenang.

Semua orang nampak kesan cemburu, busuk hati dan perancangan Mahathir itu dan tidak semua Pemuda Bahagian begitu bodoh mahu memberikan semua pencalonan kepada Mukhriz sahaja. Kerana itulah walaupun yang lain mendapat pencalonan agak perlahan, tetapi pasti jawatan Ketua Pemuda akan berentap untuk perwakilan pemuda benar-benar membuat pilihan siapa sebenarnya mereka mahu semasa pemilihan nanti.

Kalau Mahatir terus mahu menjadi pencanai politik UMNO, ramai berpendapat, semakin beliau campur, baunya semakin busuk. Nafilah banyak manapun dalam media bahawa beliau tidak campur politik UMNO hari ini, tetapi ramai yang menjebek bibir dan orang semakin menyampah. Kalau tidak campur, apa perlu Mahathir sampai buka blog bermain politik dan lihatlah blognya penuh dengan luahan hasat dengkinya menghasut macam-macam perkara yang tidak sepatutnya seorang bekas perdana menteri lakukan kepada rakan yang pernah menyokong dan taat dengannya sebelum ini.

Read more...

"Berani Berubah atau Berani Main Kotor?" ~Malaysiakini

Wednesday, October 15, 2008

Jelas sekali strategi Datuk Mukhriz Mahathir cukup berhasil mengejutkan semua pemerhati politik Pemuda UMNO. Dengan 40 pencalonan dalam tangan, Mukhriz sudah layak bertanding di Perhimpunan bulan Mac kelak, dan mendahului Khairy Jamaluddin serta Dato' Seri Khir Toyo. Tetapi strategi membuahkan hasil ini perlu dikaji sedalam-dalamnya untuk memastikan sama ada ianya berketepatan dengan slogan Berani Berubah yang dibawa Mukhriz.

Tanya sahaja mana-mana 'orang dalam' Pemuda, semua akan berkata bahawa taktik Mukhriz yang selama ini dilihat 'underdog' adalah untuk menabur wang terus ke perwakilan di setiap bahagian. Sudah pasti ketiga-tiga calon utama masih menggunakan politik wang untuk meraih undi; siapa pun tidak akan percaya jika kami katakan bahawa Mukhriz sahaja yang membawa beg berisi kepala agung. Ternyata realiti politik UMNO masih di takuk lama.

Tetapi politik kepala agung pun ada etika dan hadnya yang lazim. Mukhriz yang langsung mendampingi para perwakilan ternyata tidak menghormati adat Pemuda kerana tidak melalui Ketua Pemuda dan Naib Ketua Pemuda Bahagian. Apa yang terjadi di Bahagian seperti Rasah dan Kota Melaka apabila Ketua Pemuda atau calon Ketua Pemuda Bahagian masing-masing – Helmy dan Razak – dikejutkan dengan suara perwakilan yang berlawanan dengan suara Ketua Pemuda Bahagian. Memang diakui, suara akar umbi itu wajar kuat dan berdikari dari pemimpin atasan bahagian, tetapi bukankah kita orang Melayu masuk rumah orang bersalaman dengan ketua rumah di muka pintu? Adakah wajar untuk Mukhriz dan konco-konconya memecahkan tingkap, masuk ke rumah orang lantas memujuk anak untuk membelot bapa sendiri semata-mata untuk wang saku?

Bukan setakat itu sahaja, kumpulan Mukhriz juga dilihat tidak malu merasuah perwakilan bahagian sejurus sebelum, dan sewaktu mesyuarat dilangsungkan! Dalam satu kes, seramai 200 perwakilan diberi sampul siap dengan kad raya dari Mukhriz bersertakan RM1000 setiap satunya! Begitu gahnya taktik Mukhriz, umpama pantun hilang pembayang 2 baris pertama atau silat yang tiada langkah bunganya. Dan kini sesudah Mukhriz mencapai 38 pencalonan cukup bertanding di Mac, sudah pasti dialah yang akan beria-ia mengecam politik wang dan akan cuba sedaya-upaya untuk memastikan sama ada orang-orang Khairy atau Khir tertangkap BPR. Walhal dialah kepala rasuah yang utama dalam pemilihan ini!

Akhirnya yang membawa kekesalan paling besar bagi kami adalah ketidakselarian slogan perjuangan Mukhriz "Berani Berubah" dengan tingkah lakunya yang sebenar. Sudah jelas sekali bahawa slogan "Berani Berubah" itu sekadar pengabur mata dan tidak membawa apa-apa erti kepada perjuangan

Mukhriz, kerana yang sebenarnya berlaku adalah suatu strategi politikus yang menghalalkan apa kaedah pun untuk meraih momentum dalam agendanya berkuasa. Apabila diwawancara di Parlimen tempoh hari, Mukhriz tersenyum lebar dan angkuh kononnya dialah ejen perubahan yang dimahukan akar umbi. Namun, ramai yang mengetahui perkara sebenar: kedudukan pertama Mukrhiz dalam proses pencalonan tidak ada langsung kena mengena dengan agenda pembaharuan.

Jikapun ada agenda pembaharuan yang dibawanya, Mukhriz mengakui sendiri dalam wawancara itu bahawa agenda sebenarnya agenda pandang ke belakang, yakni agenda bapanya Tun Dr Mahathir. Semestinya ramai dalam UMNO masih menyanjungi Mahathir dan jasanya pada UMNO, tetapi walau apapun pendapat anda mengenai baik buruk Mahathir, Mukhriz kelihatan tidak langsung mempunyai agenda atau kepercayaan sendiri.Sebusuk-busuk Khairy pun – dia mungkin sombong, dibantu Pak Lah etc. – tetapi siapa pun tidak akan tergamak menuduh Khairy menjadi boneka Pak Lah. Khairy perlu banyak berubah, tetapi dia jelas berkapasiti untuk bermuhasabah diri dan mencari ruangnya sendiri setelah kini tidak lagi boleh dibantu bapa mertuanya. Kapasiti berdikari ini pada kami merupakan elemen PALING penting dalam pengisian perjuangan sayap Pemuda UMNO. Jika Ketua Pemuda mengikut telunjuk orang lain, tutup kedai sahaja lah!

Maka para perwakilan bulan Mac nanti wajar menyelidik habis-habisan baik buruk setiap calon yang layak bertanding nanti. Sentimen sememangnya pro-Mukhriz sekarang ini, tetapi sentimen itu suatu fenomena yang boleh cepat berubah dari masa ke semasa. Yang kekal adalah pengisian perjuangan – bukan slogan, tetapi pengisian! Dan kajilah kita bersama-sama mana satu individu yang benar-benar terbaik untuk memimpin pergerakan Pemuda – dari segi idea, perwatakan dan potensi meraih kembali undi muda.

Read more...

SEMUA CALON KETUA PEMUDA CACAT BELAKA~Malaysiakini

Monday, October 13, 2008

Oleh Salim Selamat

Dalam gambaran barisan Ketua Pemuda UMNO hari ini cukup membimbangkan kerana calon yang menawarkan diri amat terhad. Dan untuk Pemuda Bahagian membuat pencalonan pun juga terhad jadinya. Setakat ini hanya empat orang yang berani menonjol – Khairy Jamaluddin, Datuk Seri Mohd Khir Toyo @ Joyo dan Datuk Zahidi Zainul Abidin sahaja.

Ini menunjukkan Pemuda sedang menghadapi sindrom ketandusan personaliti untuk ke hadapan menonjolkan diri atau yang hendak ditonjolkan. Perkara ini adalah sesuatu yang dianggap malang bagi Pemuda UMNO di zaman ini. Ia berlaku berkemungkinan besar kalangan Pemuda sudah mengecut dan ramai yang jadi pengecut. Tidak terkecuali mereka yang dikecutkan.

Selain calon yang ada hari ini yang menawarkan diri pastinya lebih ramai yang berkelibar tetapi kurang keyakinan diri lantas untuk bahagian dan perwakilan nanti akan membuat pilihan dalam keadaan agak sempit dan serba salah kerana mereka terpaksa memilih itulah sahaja kerat yang ada. Sama ada Khairy Jamaluddin, Khir Toyo, Mukhriz Mahathir dan Zahidi Zainul Abidin sahaja. Sedangkan keempat-empat orang ini mempunyai masalah tersendiri untuk meraih pencalonan dan kemudiannya undi.

Khairy Jamaluddin yang popular dengan tidak sengaja diberi nama ringkasnya KJ, dikaitkan dengan menantu Perdana Menteri sehingga Mac tahun hadapan. Selepas pemilihan, KJ akan jadi menantu bekas Perdana Menteri. Sejak mula Pak Lah jadi Perdana Menteri, nama KJ dijejeh dengan macam-macam cerita yang lahir dari pereka cerita orang UMNO khasnya yang iri hati KJ mendapat tempat Naib Ketua Pemuda.

Itu pun dia dipilih oleh Pemuda sendiri dan bukan dilantik oleh sesiapa seperti payung terjun. Pada hal, KJ menjadi menantu Pak Lah ketika Pak Lah masih Timbalan Perdana Menteri lagi yang pada masa itu, tidak siapa tahu apakah Pak Lah akan jadi Perdana Menteri lagi. Naib Pemuda itu kemudiannya mendapat kepercayaan ketuanya, Datuk Seri Hishamuddin Hussein untuk menyelaraskan banyak perkara menggerakkan pemuda.

Namun, oleh kerana Pak Lah dilantik Perdana Menteri, KJ dilihat berjaya dari segi perniagaan dan karier politiknya hingga menjadi Ahli Parlimen dan Ketua Pemuda Rembau serta dikenali dan tentunya juga berpengaruh, KJ tetap menjadi bahan serangan ramai yang juga terbit dari sifat cemburu dengan peningkatannya yang berusia begitu muda lagi. Itu belum lagi KJ dianugerah bintang kebesaran Datuk, Datuk Seri atau Tan Sri.

Kemudian diikuti dengan Mohd Khir Toyo yang juga mempunyai buruknya yang tersendiri. Beliau dikatakan telah menyebabkan Barisan Nasional tercemar begitu trajis sekali kerana menggagalkan Negeri Selangor ke tangan pembangkang. Tidak siapa boleh menafikan terlepasnya Selangor berpunca dari diri tingkah laku Khir sendiri.

Tiba-tiba orang Selangor benci dengan Khir kerana sikap Khir semakin lama jadi Menteri Besar, dia semakin bongkak dan memberikan kesan buruk kepada sebuah negeri yang kaya di bawah pimpinannya apabila mengubah wajahnya melalui botok yang didakwanya kerana makan banyak tempe dan memberi penyapu kepada pegawai tinggi dalam kerajaan.

Kalau Khir sanggup beri penyapu sebagai anugerah kepada pegawai tinggi Kerajaan Selangor kononnya mendakwa cara itu cara simbolik memberi pengajaran, bagaimanalah pegawai dan kaki tangan di pejabatnya menerima penangan Khir sebagai ketua. Entah-entah dimaki hamun saban hari agaknya. Ternyata tindakannya yang tersebar dalam media telah membawa sial kepada dirinya dan Selangor.

Kisah kumpul harta dan wang ringgit tak usah ceritalah. Kalau tidak, masakan hidupnya selama jadi Menteri Besar Selangor amat luar biasa. Kerana itulah juga beliau menjadi semakin hari semakin lupa diri dan asal usulnya, semakin sombong, semakin riak dan semakin menunjukkan kuasanya yang secara tidak langsung telah banyak menyalahgunakan kuasa.

Mukhriz pula tidak kurang kekayaannya. Bila mahu bertanding Ketua Pemuda ni baru dia kongsi sebahagian kecil dari kekayaannya menabur umpan pada yang bakal menyokongnya. Nak dikira jasa, Mukhriz belum ada jasa besar lagi dalam UMNO dan pemuda. Menderhaka dengan pemimpin ada. Dialah satu-satunya ahli UMNO yang sebaik sahaja menang Ahli Parlimen Jerlun, terus buat kenyataan meminta Pak Lah letak jawatan. Ternyata itu kerja biadap bagi orang muda mengatakan perkara itu. Kalau ayahnya kata begitu, boleh lagi diterima. Tetapi bukan sepatutnya dari pemimpin muda yang mahu memimpin Pemuda UMNO.

Sekali dia biadap, dia boleh terus biadap kerana kebiadabannya dirasakan mendapat restu terutama ayahnya dan menjemput orang lain turut biadap sama dalam kancah politiknya. Permulaan politik Mukhriz tidak begitu baik untuk dijadikan role model generasi hari ini dan akan datang. Nescaya generasi akan datang akan lebih biadap kepada orang senior yang biadap lebih dulu dari mereka.

Zahidi pula tidak begitu terkenal sebelum beliau menawarkan diri untuk merebut jawatan Ketua Pemuda UMNO. Siapa pun kalau menawarkan diri untuk jawatan-jawatan penting, gambar dan ungkapannya dipetik media. Maka tidak syaklah beliau baru mula dikenali ramai. Seorang Datuk muda dari Utara, beliau pasti tidak meyakinkan Pemuda untuk menolaknya naik. Jasanya belum pernah dapat dibaca dengan jelas lagi. Perjuangannya samar-samar. Yang jelas, beliau lebih sibuk memperjuangkan dirinya untuk menduduki satu tempat penting dalam parti. Tidak lebih dari itu.

Seluruh Jentera Pemuda Bahagian tahu akan semua kecacatan ini. Oleh yang demikian, apa lagi pilihan pemuda. Tentulah dari empat calon cacat ini, mereka terpaksa memilih seorang daripada mereka. Cuma cara pemikiran dan pertimbangan waras pemuda sahaja yang boleh menentukan siapa calon cacat hendak dipilih. Seorang tiada apa-apa title, iaitu Khairy. Cuma beliau ada YB sahaja. Khir berDatuk Seri bekas YAB. Zahidi ada Datuk.

Sekarang nak pilih YB, Bekas YAB bergelar Datuk Seri atau Datuk sahaja? Kalau pilih yang dah tentu cacat dalam barisan keempat-empat orang ini, Khir Toyo sendiri telah mencacatkan mukanya dengan suntikan tempe dan penyapu. Kalau pilih Khairy, dia kaya dengan umpatan, cemuhan dan mitos akan dijadi perdana menteri termuda di dunia suatu masa nanti. Pilih Mukhriz, akan jadi macam pilih biskut rangup tetapi akan jadi lemau bila Tun Mahathir sudah tiada nanti - pastinya Tun Mahathir tidak akan menongkat langit, tetapi mungkin akan berjalan mengguna tongkat.

Soalnya pemuda harus cari Ketua dari kalangan yang cacat-cacat ini yang mampu berdepan dengan situasi sekarang dan akan datang di mana kita sudah mula diserang oleh kumpulan-kumpulan jahat seperti Hindraf, Sique, Kumpulan Anwar Ibrahim dan generasi muda yang akan merasakan perlu kurang ajar dengan orang yang terdahulu dari mereka supaya nampak hebat, perlu mengganas kalau tidak dapat apa yang mereka mahu, perlu biadap dan gertak apabila menuntut sesuatu.

Siapa yang paling mampu untuk menangani gejala ini semua sambil membentuk generasi akan datang bagaimana persediaan lapisan muda untuk dijadikan benar-benar eset sebagai tiang negara adalah terserah kepada Pemuda Bahagian memilih calon dan memberi undi pada mereka dengan penuh ikhlas dan jujur.

Harap tidak salah kalau dikatakan cacat yang ada pada Khairy masih mempunyai martabat lebih tinggi dari yang lain. Beliau masih muda untuk menjadi pemimpin pemuda. Mempunyai pengalaman dari kedudukannya sekarang sebagai naib ketua pemuda yang dikira berjaya membantu Hishamuddin menguruskan pemuda. Dari situ beliau tentunya sudah dapat melihat jelas apa yang harus dilakukan terhadap generasi sekarang dan akandatang dan apa keperluan-keperluan untuk bekalan mereka. Beliau berkemungkinan besar lebih tahu bagaimana membimbing mereka kembali ke trak yang betul dan membetulkan arah tuju yang lebih jitu.

Kecacatan pada Khir amat terserlah. Dia lebih pentingkan 'make-up' dirinya daripada membimbing pemuda. Kalau dia membimbing, dia akan terbawa-bawa cara mengajar pemuda menggunakan benda-benda simbolik seperti kisah penyapu. Bila Khir jadi ketua, secara simboliknya juga Khir akan 'belasah' pemuda dengan penyapu kerana Khir nampak pemuda macam budak-budak yang boleh diumpan dengan gula-gula sahaja untuk menawan mereka.

Uppppp! Hampir terlupa pula pada Zahidi. Jangan lupakan beliau. Bibit-bibit keberanian beliau sudah dapat dilihat dari sekarang. Di kemaskan sedikit, diberikan tempat membantu ketua, nescaya Zahidi akan jadi pemimpin terpimpin sepertimana Hishamuddin memimpin Khairy sebagai naibnya. Pemimpin yang baik adalah dari kalangan pemimpin yang pernah dipimpin oleh pemimpin terpimpin.


Read more...

Ulasan wawancara eksklusif calon ketua pemuda UMNO - Dr Mohamad Khir Toyo.~Malaysiakini

Tuesday, October 7, 2008

Dr. Mohamad Khir dan Ahmad Zahidi sependapat bahawa Pemuda perlu diberi nafas baru bagi memastikan ia berupaya menarik sokongan golongan muda. Ini kerana pada pandangan mereka, UMNO dan BN akan terus ditolak oleh kelompok tersebut jika tiada sesuatu dilakukan. Justeru Dr. Mohamad Khir masuk ke gelanggang dengan ‘tag line’ Pemuda Berani manakala Ahmad Zahidi dengan membawa Perjuangan rakyat. Bagi Dr. Mohamad Khir `tag line’ yang dibawa bertujuan untuk memastikan Pemuda benar-benar berani menjadi kumpulan pejuang yang bersedia berhadapan dengan apa juga situasi, mereka bukan sahaja perlu bersuara malah bersedia menerima kritikan demi kebaikan parti. Ahmad Zahidi pula ingin memastikan Pemuda tidak hanya dikuasai oleh kelompok tertentu tetapi benar-benar membawa suara rakyat.

1. Apa saja tagline yang di bawa oleh Khir Toyo beliau perlu pandang ke belakang sebagai bekas Menteri Besar Selangor.Berjayakah beliau mendekatkan pengundi kepada BN di Negeri Selangor sehingga Selangor tergadai ke tangan pembangkang, Apakah dengan kepimpinan Khir Toyo dalam MBM dahulu dapat membantu pemuda Selangor mendekatkan remaja dan pengundi baru bagi menyokong UMNO . Berapakah bilangan pertumbuhan pemuda UMNO Selangor ketika Khir menjadi Presiden UMNO dan juga menteri besar Selangor. Apakah pemuda Selangor berjaya diberikan nafas baru dan menjadi pemuda yang berlainan dari pemuda dari negeri lain-lain. Apakah pemuda UMNO Selangor benar-benar berani menjadi kumpulan pejuang yang bersedia berhadapan dengan apa juga situasi , jika benar mengapa Selangor tergadai ke tangan pembangkang. Berjayakah Khir Toyo membawa kelompok ini mendekati UMNO ketika di Selangor dahulu ?

2. Dengan Tag line ini bererti Khir Toyo menafikan kepimpinan Ketua pemuda sekarang seolah-olah Ketua pemuda sekarang gagal untuk memimpin pemuda untuk menjadi pemuda yang berani jesteru menuduh pemuda sekarang adalah jenis pemuda yang penakut. Beliau juga seolah-olah berkata dengan adanya beliau sebagai ketua pemuda UMNO maka pemuda akan di ubah menjadi pemuda yang berani. Ini juga membuktikan betapa kegagalan Hishamuddin untuk membawa kelompok baru bagi menyertai UMNO dan seolah-olah kepimpinan yang ada sekarang tidak berani dan gagal.

DR. MOHAMAD KHIR: Sebab utama ialah saya melihat sebahagian generasi muda semakin menjauhkan diri daripada UMNO. Ketika krisis dalaman UMNO pada 1999, ramai pengundi muda meninggalkan UMNO dan mereka ini tidak kembali sepenuhnya pada 2004. Keadaan menjadi serius apabila jumlah pengundi muda yang berdaftar pada 2008 semakin bertambah ramai dan majoritinya berpihak kepada parti lawan. Dalam pilihan raya lalu, kekuatan kita hanya pada saluran 1 dan 2 iaitu saluran mereka yang berumur 45 tahun ke atas. Manakala saluran 3, 4 dan 5 kita menghadapi masalah jurang sokongan yang agak besar. Di banyak tempat kita kalah kerana perbezaan sokongan yang amat besar di saluran 3, 4 dan 5 ini. Ini jelas membuktikan bahawa ’saham’ UMNO dan BN dalam pilihan raya umum kian berkurangan. Pada 2013 kita mungkin semakin hilang sokongan di saluran ini dan juga saluran enam yang mendaftar para pengundi muda baru. Inilah sebab saya melihat jika kita mahu mengukuhkan semula UMNO dan Barisan Nasional (BN), peranan Pemuda perlu diberi nafas baru. Pengalaman saya bersama Pemuda UMNO, Majlis Belia Malaysia dan Majlis Belia Asia serta pengalaman sebagai orang muda yang mentadbir negeri Selangor selama lapan tahun akan membolehkan saya membawa perspektif baru dalam menarik sokongan generasi muda kepada parti.

1. Secara tidak disedari Khir seolah berkata bahawa ketika saya bersama Pemuda UMNO , Majlis Belia dan Majlis belia Asia saya gagal untuk membentuk pemuda menjadi berani dan saya gagal untuk menarik kelompok ini menyertai UMNO. Itulah yang dimaksudkan oleh Khir Toyo kerana jika beliau berjaya pasti kelompok ini berada dalam UMNO, Jika Khir gagal ketika itu apakah hanya dengan menjadi Ketua Pemuda dia akan berjaya ? Masa yang agak lama gagal di menafaatkan oleh Khir dan apa yang dilaungkan oleh Khir kini hanyalah hasrat dan cita-cita yang belum pasti relevan kerana peluang untuk membuktikan apa yang mahu dilakukan kini telah gagal dilaksanakan dahulu, Ketika itu beliau berada di landasan yang betul untuk melaksanakan apa yang dilaungkan kini.

2. Beliau tidak menafikan di Selangor beliau gagal untuk mendapatkan saluran 3 , 4 dan 5 malangnya kekuatan undi pada saluran saluran 1 dan 2 juga gagal di perolihi walaupun ia adalah kekuatan UMNO pada saluran ini , mereka yang berumur 45 tahun ke atas. Akibatnya Selangor tergadai dan kerusi beliau sendiri tergadai ke tangan pembangkang.

DR. MOHAMAD KHIR: Sebagai Ketua Pembangkang peranan saya terhad kepada menjadi pengawas dan pemantau kepada dasar dan keputusan kerajaan negeri. Saya tidak menjadi Pengerusi Perhubungan UMNO negeri atau Pengerusi BN Selangor. Namun ini tidak bermakna saya lepas tangan. Sebaliknya saya akan membantu Tan Sri Muhammad Muhd.Taib atau sesiapa sahaja Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri bagi merampas kembaliSelangor. Saya juga melihat jika dipilih mengetuai Pemuda, ia akan membantu memberi lebih kekuatan kepada UMNO Selangor. Seseorang Ketua Pemuda UMNO akan mempunyai sepasukan jentera yang besar untuk membantu parti baik di Selangor mahu pun di seluruh negara. Sokongan generasi muda di bandar-bandar terutama di Lembah Klang kepada UMNO agak tidak memberangsangkan. Sebahagian mereka yang tinggal di Lembah Klang bukan sahaja pulang mengundi pembangkang, malah turut mempengaruhi golongan di kampung agar menjauhi UMNO dan BN. Sebab itu saya percaya, Pemuda UMNO di Lembah Klang, terutamanya Selangor perlu diberi lebih kekuatan untuk bekerja keras memulihkan sokongan ini. Jika kita berjaya menarik kembali sokongan generasi muda yang tinggal di bandar, ia akan menjadi seperti satu teori domino baru yang menjadi landasan kebangkitan UMNO apatah lagi generasi muda akan membentuk lebih 60 peratus jumlah pengundi pada masa akan datang

1. Khir tidak jujur apabila berkata beliau membantu membantu Tan Sri Muhammad Muhd.Taib atau sesiapa sahaja Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri bagi merampas kembali kerana laman yang di biayai oleh beliau telah menajdi platform menghentam Tan Sri Muhammad Muhd.Taib secara maksimum dan pelayar laman ini sedia maklum bahawa laman ini telah menghentam Tan Sri Muhammad Muhd.Taib secara maksimum. Harap laman ini dapat menafikan bahawa Khir bukan dalang di sebalik penghentaman Tan Sri Muhammad Muhd.Taib secara maksimum , Kami ada bukti dan akan mendedahkan penglibatan Khir Toyo menghentam Tan Sri Muhammad Muhd.Taib. laman ini juga turut menjadi platform menghentam Perdana Menteri , Naib Ketua Pemuda UMNO dan juga ahli kebinet yang menyokong kerajaan.

2. Mengapa ketika berada dalam MBM , menteri besar Selangor Khir tidak bercakap atau berbicara mengenai kelompok ini dan mengapa hanya mahu menungggu menjadi Ketua Pemuda UMNO baru Khir mahu bercakap mengenai menarik sokongan kelompok ini, Apakah kedudukan beliau sebagai orang pertama dalam MBM dan orang pertama di Selangor tidak cukup kuat untuk membawa kelompok ini dalam UMNO.

DR.MOHAMAD KHIR: Saya membawa slogan “Pemuda Berani” ini sejak lima bulan lalu. Bagi saya Pemuda perlu berani bersuara mengkritik dan mendesak kerajaan melaksanakan polisi-polisi yang dijanjikan serta berani mengemukakan idea baru bagi meningkatkan kehidupan rakyat. ‘Tag line’ itu juga bermakna Pemuda bersedia berhadapan dengan pembangkang mahu pun badan bukan kerajaan untuk berdialog, berbahas dan berdebat dalam sesuatu isu. Selain itu di dalam Pergerakan Pemuda sendiri kita harus menggalakkan pemimpin Pemuda di semua peringkat mengkritik serta bertanya soalan-soalan yang sensitif dan kritis.Setiap kali saya bertemu dengan akar umbi UMNO, saya akan membuka sesi soal jawab dan kritikan. Kaedah ini amat menarik perhatian Pemuda di peringkat cawangan. Mereka merasakan pandangan dan peranan mereka lebih dihargai. Sebagai pemimpin Pemuda kita harus berani berhadapan dengan kritikan di bawah bukannya menutup sebarang kritikan dan pandangan yang kritis.

1,Sekali lagi , mengapa baru sekarang mahu di adakan kepimpinan keterbukaan ? Pernahkah Khir beri peluang kepada kelompok muda ini memberikan pendapat mereka dan pernahkah Khir mendengar pemdapat kelompok muda ini ketika menjadi Menteri Besar dahulu ? Apakah ini hanya inti pati tag line sahaja yang tak mungkin akan dilaksanakan dan apakah ini hanya mungkin aksesories penghias bagi mengiringi Khir dalam mencabar kerusi Ketua Pemuda UMNO. ?

2. Apakah Khir mahu membawa pemuda ke era pemuda yang hanya bercakap dan mengkritik tanpa perlaksanaan tugasan dan tanggungjawab. Visi yang Khir bawa ini sama seperti apa yang telah di laksanakan oleh Dewan Pemuda PAS. Di bawah kepimpinan Khir pemuda akan mengikut design yang sama dengan apa yang dilakukan oleh PAS sekarang. Mengkritik kerajaan.dll.

DR.MOHAMAD KHIR: Pemuda UMNO di bawah Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein banyak memperjuangkan isu-isu rakyat. Namun ia tidak nampak ke hadapan kerana ia mempunyai saluran di dalam kabinet. Hishammuddin bercakap di dalam Kabinet tetapi Pemuda dan rakyat di bawah tidak tahu. Jadi kita perlu mencari satu kaedah agar suara Pemuda bukan sahaja berjaya mempengaruhi kerajaan tetapi juga diketahui rakyat. Pemuda UMNO harus menjadi juru bicara rakyat dan parti bukannya kerajaan.

1. Saluran yang paling baik untuk menyelesaikan isu rakyat adalah saluran dalam kabinet kerana kabinet sahaja yang boleh membuat keputusan. Kabinet kemudian akan mengumumkan kepada rakyat, Apa yang khir mahu di sini sama seperti Pas mengunakan saluran jalanan supaya rakyat tahu dan menyampaikannya melalui jalanan dan kemudian baru ke kebinet, Matlamat sama tetapi jalan yang berbeza. Kecoh dahulu agar rakyat tahu mereka yang perjuangkan. Dewan Pemuda terpaksa melakukan cara Khir kerana mereka bukanlah Pemuda kerajaan. Apa yang Pemuda Hishamuddin lakukan itu betul kerana mereka punya ekses terus kepada kebinet, Mengapa mahu mengikut kaedah dewan Pemuda PAS. ? Pemuda UMNO boleh menjadi jurubicara rakyat melalui ekses terus ini.

2. Khir tidak menafikan bahawa Pemuda UMNO di bawah Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein banyak memperjuangkan isu-isu rakyat - Betullah apa yang dilakukan , apa yang mahu di ubah ? apakah Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein yang banyak memperjuangkan isu-isu rakyat masih kita anggap tidak berani. Beza kaedah Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein , beliau melakukan secara terpelajar dan Khir melakukan secara yang kurang terpelajar.
bersambung…….. bahagian kedua.

Read more...

Ronnie saman Khir Toyo~malaysiakini

Anggota exco kerajaan Selangor Ronnie Liu hari ini memfailkan saman terhadap Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo kerana mendakwa bekas menteri besar itu mengeluarkan kata-kata berunsur fitnah terhadapnya.

Beliau memfailkan saman itu di pejabat pendaftar Mahkamah Tinggi Sivil, Jalan Duta, melalui peguamnya Gobind Singh Deo, bagi menuntut ganti rugi am, ganti rugi teruk dan ganti rugi teladan untuk fitnah, faedah, kos dan sebarang relif yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.

Liu tidak meletakkan sebarang jumlah tuntutan, sebaliknya membenarkan mahkamah menentukannya, lapor Bernama.

Beliau mendakwa Dr Mohamad Khir mengeluarkan satu dakwaan palsu berunsurkan fitnah mengenai tindakannya campur tangan dalam urusan menghapuskan kegiatan pelacuran.

Read more...

RAKSASABN HOT VIDEO

Followers

  © Blogger templates Newspaper by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP