Sudahlah Mukhriz…mulakan di Kedah bukan di Perak ~ Malaysiakini

Monday, February 16, 2009

Oleh Saiful Malek Muda

CALON Ketua Pergerakan Pemuda Umno, Datuk Mukhriz Mahathir nampaknya tidak pandai bermain politik ketika suasana politik Negeri Perak kusut ekoran permainan Datuk Seri Anwar Ibrahim, Pas dan DAP.

Tiba-tiba dia (Mukhriz) membuat perlawaan supaya Pas bergabung dengan Barisan Nasional (BN) bagi menyelesaikan krisis yang melanda politik negeri itu.

Malangnya, apabila Pas tidak memberi apa-apa respon dari kenyataan atau perlawaannya itu, dia mengulanginya sekali lagi kononnya apabila tiada jawapan bermakna Pas sedang memikirkannya secara mendalam.

Mukhriz ni siapa sebenarnya dia? Kenapa dia bertindak mewakili BN membuat perlawaan ini? Tahukah dia bahawa Pas sebenarnya sudah dipelawa untuk bermuzakarah dengan Umno (BN) sejak sekian lama tetapi Pas bukannya sebuah parti yang rasional ketika ini. Mereka lebih rela bersekongkol dengan DAP daripada mengadakan pergabungan dengan BN.

Kalau Mukhriz benar-benar mahu memainkan peranan supaya Pas bergabung dengan BN, mulakan langkah itu di Kedah. Jika boleh, sebagai Ahli Parlimen Jerlun, mulakanlah di Jerlun kerana permulaan ini lebih bermakna daripada bercakap dengan tujuan nak tunjuk pandai, kerana dia berkeinginan menjadi Ketua Pergerakan Pemuda Umno.

Pas adalah sebuah parti yang sudah tersesat jauh. Guru mereka ialah Datuk Seri Anwar Ibrahim. Mereka sudah mentarbiyah para pengikut mereka bahawa Pas dengan Umno mempunyai dasar yang jauh sangat bezanya. Maka, untuk bergabung, bekerjasama atau bermuzakarah, mereka nampak mereka lebih selesa jika bergabung dengan DAP an PKR.

Kata mereka dalam tarbiyahnya, tidak salah jika kita bersatu dengan mana-mana 'musuh politik' kita, dengan tujuan membunuh musuh yang lebih gagah. Maknanya, Pas hanya mahu menggunakan DAP dan PKR untuk 'membunuh BN' dan selepas berjaya (mudah-mudahan tidak akan berjaya sampai bila-bila), mereka akan tinggalkan DAP dan PKR atau mereka akan bunuh kedua-dua parti ini pula.

Mukhriz sepatutnya sedar, dia tidak perlu membuat perlawaan itu. Mukhriz juga sepatutnya sedar, apabila Pas tidak melayan perlawaannya itu, kerana Pas tahu Mukhriz bukanlah orang yang layak untuk mengeluarkan kenyataan atau cadangan mengenai penggabungan. Kecualilah, Mukhriz sudah merasakan dia adalah Ketua Pemuda Umno Malaysia yang bertaraf Naib Presiden Umno, mahu memulakan langkah pergabungan.

Adalah lebih baik bagi Mukhriz, jika dia benar-benar mahu memujuk 'orang di luar sana' termasuk Pas, DAP dan PKR supaya bergabung dengan Umno, langkah pertama yang boleh dia buat ialah 'mempelawa' bapanya, Tun Dr. Mahathir Mohamad masuk Umno semula. Kalau yang dalam 'kandang' sendiri pun terlepas, kenapalah Mukhriz gatal-gatal nak buat kerja besar, mempelawa Pas pula supaya bergabung dengan BN.

Pemimpin Pas, adalah pemimpin yang 'tertutup pemikirannya'. Janganlah bercakap apa-apa dengan mereka kerana mereka mempunyai 'kitab' mereka sendiri. Jika tidak, mustahil Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mengeluarkan 'fatwa' mengatakan – jika PKR masuk BN, hina. Jika BN masuk PKR, mulia!

Kalau diterjemahkan kata-kata Nik Aziz itu, bermaksud Mukhriz mengajak Pas menjadi hina kecualilah Mukhriz bercadang menjadi mulia dengan dia sendiri menawarkan dirinya menyertai Pas kerana kata Nik Aziz kalau BN masuk PKR, mulia.

Hari ini, bekas MB Perak, Ir Mohamad Nizar Jamaluddin sudah dilihat sebagai manusia angkuh hasil pengeluaran 'kilang Pas'. Dia bukan sahaja bercakap ikut sesuka hatinya terhadap Umno dan BN, termasuk Menteri Besar, Datuk Dr. Zambry Abdul Kadir, dia juga sudah memilih untuk 'sembah derhaka' kepada Paduka Seri Sultan Perak.

Tidak hairanlah, Naib Ketua Pergerakan Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin mencadangkan supaya anugerah dan gelaran yang pernah diberikan kepada Mohamad Nizar dipertimbangkan untuk ditarik balik. Malahan, Khairy turut mencadangkan Mohamad Nizar dibuang daerah kerana penderhakaannya itu.

Kalau dalam kotak fikiran Mukhriz masih tertanam rasa percaya bahawa Pas sedang menimbangkan cadangan dan pelawaannya itu, bererti Mukhriz memang 'budak mentah' dalam arena politik tanahair. Dia bercakap kerana dia yakin cadangannya itu akan mendapat liputan media. Padahal, dia tidak membuat kajian terlebih dahulu, parti mana yang dipelawanya itu.

Hari ini, orang Pas di Perak lebih rela berbaring atas jalanraya kerana mempertahankan Datuk Ngeh Koo Ham yang juga Pengerusi DAP. Tiada seorang pun ahli DAP atau penyokong DAP yang sanggup hadir ke Kuala Kangsar untuk menunjukkan kebiadapan mereka kepada Istana Perak.

Tugas DAP itu sudah diserahkan kepada pengikut dan penyokong Pas. Kalau Mukhriz benar-benar mahu melihat Pas bergabung dengan BN, mulakan langkahnya mengadakan majlis bersama Pas di Jerlun dan kemudiannya memulakan langkah di Kedah terlebih dahulu. Kedah lebih kecil jika dibandingkan dengan Perak. Kedah negeri di mana datangnya Dr. Mahathir dan tempat Mukhriz bertanding dalam pilihan raya.

Mudah-mudahan, selepas ini, Umno tidak lagi mempunyai seorang 'jurucakap' yang tidak ada kualiti macam Mukhriz ini. Cadangan dan pelawaannya itu memalukan Umno dan BN sebenarnya. Bekas Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Perak, Datuk Seri Mohd Tajol Rosli Ghazali sendiri pernah berkata, beliau sendiri sudah memulakan 'perundingan' dengan Pas di Perak tetapi disebabkan Pas sebenarnya sedar lebih mudah mereka 'makan' DAP daripada makan BN, maka mereka bergabung dengan DAP dan menolak pelawaan Tajol Rosli.

Kalau Mukhriz tidak ada idea untuk bercakap dalam soal politik Perak dan tidak ada kemampuan untuk mengajak kawan-kawan bangkit menunjukkan rasa tidak puashati dengan kebiadapan parti-parti pembangkang terhadap Paduka Seri Sultan Perak, lebih baiklah kalau dia 'menjahit mulutnya'.

Kalau dia diam, mungkin orang anggap dia cerdik tetapi bila dia bercakap, orang tahu siapa sebenarnya dia dan paras mana tahap pemikirannya!

1 comments:

Anonymous said...

mukhriz mmg tolol. nak cari publisiti no1

RAKSASABN HOT VIDEO

Followers

  © Blogger templates Newspaper by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP