KHIR TOYO HADIR 'BANTU' JENTERA PEMUDA BERKEMPEN DI KUALA TERENGGANU ~ Malaysiakini

Thursday, January 22, 2009

Oleh Salim Selamat

Banyak betul cerita dari Kuala Terengganu. Selain dari cerita bagaimana BN boleh kalah di tangan PAS, cerita kempen calon pun turut sama hebat. Paling menarik dari kalangan Pemuda ialah calon Ketua Pemuda pun ada sama. Oleh kerana Khairy Jamaluddin (KJ) sudah diamanahkan menjalankan tugas gerak gempur, Khir Toyo pun sibuklah muncul menemui pemuda memberikan 'kemudahan' untuk yang memerlukan. Memang ramai yang perlu.

Orang sibuk berkempen, dia pun sibuk juga 'hulur bantuan'. Maklumlah, heboh satu negara yang Khir tidak lokek 'tabur', jadi kehadirannya memanglah mendapat tumpuan istimewa. Siapa jumpa, pasti tidak akan pulang dengan 'tangan kosong'. Itu satu kelebihan dari lebihan yang nampaknya sangat berlebihan.

Kononnya kehadiran beliau untuk membantu calon BN disifatkan oleh pemuda insaf hanya alasan semata-mata. Kempen memang la dia kempen, tetapi yang lebih penting, dia kempen dirinya sendiri dan meminta jaminan. Yang terlibat secara langsung, sanggup angkat sumpah untuk beri undi tanpa berbelah bagi.

Ada yang menyaksikan dengan mata kepala sendiri tingkah Khir di Kuala Terengganu, dia dah jadi macam pesuruhjaya sumpah pula lagaknya. Perkara ini bukan rekaan, tetapi ramai yang sudah melakukannya dan ramai juga yang telah terlepas cakap apabila menyedari perbuatan Khir itu sudah melebihi garisan pertandingan sebenar.

Semakin dekat dengan hari pemilihan, semakin terdesak dia mendesak. Ada juga yang sanggup terima, tetapi tidak sanggup bersumpah. Itupun dapat juga. Bagi mereka, terima tetap terima namun sebagai orang Melayu ada yang guilty dan menyesal dalam hati.

Kalau ye pun nak menang sangat dan nak berkempen, janganlah waktu orang lain berkempen untuk UMNO/BN. Buatlah tengah malam selepas waktu kempen lepas jam 12.00. Dan tak payah la buat siang-siang buta tempat terbuka. Nampak sangat bila kehadirannya macam semut hurung gula lagaknya.

Dalam hal ini, sipemberi atau sipenerima tidak salah, tetapi bukanlah waktunya Khir menggunakan kesempatan ketika UMNO sedang menghadapi saat-saat getir menghadapi pertandingan yang tidak menentu ketika itu. Sifat yang menyalahgunakan tempoh kempen pilihan raya digunakan untuk kempen peribadi jelas sangat dia melakukan khianat terhadap UMNO.

Dari mulut beberapa orang pemuda UMNO sendiri merasakan tidak sedap hati bila kelakuan calon pemimpin pergerakan mereka tidak langsung menghormati keadaan keliling seolah-olah beliau tidak langsung rasa silu milu. Orang Kuala Terengganu pun tahu tujuan kehadiran Khir bukan untuk berkempen UMNO.

Khir percaya perlakuannya di sana adalah berjauhan daripada jawatankuasa disiplin. Menghulur di khalayak ramai secara terang-terangan boleh ditangkis dengan alasan bukan politik wang tetapi bagi membantu jentera berkempen untuk calon BN. Maka kerana itulah beliau mengambil kesempatan di waktu dan di tempat yang terbuka.

Tambah pula tidak akan ada siapa yang akan membuat laporan kepada jawatankuasa disiplin UMNO kerana ia tidak akan berkesan atas sebab Khir boleh jawab dengan mudah sahaja yang beliau membantu jentera kempen. Habis cerita.
Apa yang berlaku di Kuala Terengganu itu, benar-benar sudah menjadi buah mulut orang kerana maklumlah mulut manusia bukan mulut tempayan yang bisu. Tidak banyak pun, kebanggaan menerima dan cara seseorang itu berbelanja selepas jumpa Khir pun orang boleh baca.

Cerita boleh jadi umpatan dan umpatan boleh jadi hebahan. Mereka sesama mereka bercerita kerana masing-masing mahu tahu berapa dapat. Soalnya berapa dapat itu mungkin sama tapi berapa kerap jumpa menjadikan jumlahnya berbeza. Itu sahaja perbezaannya.

Malanglah bila calon ketua pemuda bertingkah laku begitu. Tidak mungkin dia rasa malu kerana mukanya bukan asli lagi. Begitu sekali kata seorang yang menjawab soalan apakah dia tidak malu bersikap begitu semata-mata untuk mendapat sokongan menduduki tempat ketua pemuda.

0 comments:

RAKSASABN HOT VIDEO

Followers

  © Blogger templates Newspaper by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP