Malaysiakini ~ Khir Toyo Tidak Perlu Main Sentimen Tun Razak

Thursday, January 29, 2009

KEKALAHAN BN di Kuala Terengganu telah memberi ruang untuk mereka yang ingin bertanding merebut jawatan pada perhimpunan agung Umno Mac depan untuk bercakap bagi menjual idea sebagai modal dan daya tarik kempen. Sesetengahnya terpaksa mencari-cari dan menggali idea lama untuk memperlihatkan ada idea unik.

Ada yang pergi sendiri ke pejabat akhbar, televisyen supaya pandangan mereka dipakai, muka disiarkan dalam tv dan gambar dicetak dalam surat khabar. Sebenarnya mereka ini bukan sangat untuk membina Umno yang sudah hampir robek itu tetapi ingin menjual idea dan diri mereka.Mudah-mudahan idea yang dijual itu tertangkap oleh ahli Umno dan menjadi bahan renungan buat menilai diri empunya idea! Apa yang mereka inginkan mahu ahli Umno yang menjadi perwakilan menganggap mereka ada idea bagaimana untuk memberi bantuan kepada parti.

Salah seorang yang dikira banyak bercakap mengenai kekalahan di Terengganu itu ialah bekas MB Selangor, Mohamad Khir Toyo. Cara Khir Toyo ulas mengenai kekalahan di Kuala Terengganu dan membidas partinya seolah BN masih berkuasa di Selangor. Seolah Khir Toyo masih menjadi YAB di Selangor.

Kalau Khir terlupa ingin diberi tahu bahawa dia ialah ketua pembangkang di DUN Selangor, bukan ketua kerajaan Selangor lagi.

Antara cadangan Khir ialah supaya BN mengikut apa yang dibuat oleh Tun Razak Hussein. Katanya Tun Razak untuk memulihkan semangat dan memperbaharui Umno telah menukar simbol dari kapal layar kepada dacing, daripada nama Perikatan kepada Barisan Nasional.

Geli hati saya mendengar cadangan Khir ini. Teringat kepada penduduk kampung di pedalaman Kelantan ditahun-tahun 60-an dulu yang menukar nama-nama anak mereka kepada nama lain, untuk menghalang penyakit. Misalnya kalau kesihatan budak itu kurus, laih dan tidak gemuk (disebabkan serangan cacing kerawit), nama mereka ditukar. Daripada Mat Kossim misalnya kepada Abdul Jamal. Atau kalau perempuan daripada Mek Nab kepada Siti Rahmah.

Anihnya selepas itu ada juga menjadi, tetapi banyak yang tidak memberi kesan! Mungkin Khir mengambil ilham amalan dan kepercayaan tradisi Melayu ini. Khir memang suka bermain dengan peralatan tradisional orang Melayu. Satu masa dulu beliau memberi penyapu kepada pegawai PBT sebagai simbol atas kelemahana PBT. Akhirnya penyapu terbalik ke mukanya sendiri. Sebuah kerajaan negeri hanyut.

Pada saya cadangan Khir yang membabitkan nama Tun Razak itu tidak lain dan tidak bukan kerana ingin menarik perhatian anak Tun Razak sahaja, itu Najib Razak. Orang Melayu kalau bapanya dipuji dia akan suka. Khir mungkin mengharap Najib akan menyetujui dan menyukainya. Manalah tahu dengan suka itu akan mengalir sikit undi (pengaruh Najib) ke dalam peti undinya yang akan bertanding ketua Pemuda.

Sebenarnya Khir tidak payah mainkan sentimen Tun Razak kerana nak menagih undi dari penyokong Najib. Kalau kita ada kemampuan, wibawa dan bakat sendiri kita gunakan modal sendiri. Khir harus menjual kebolehannya sendiri untuk jadi Ketua Pemuda Umno. Misalnya Khir boleh senaraikan kejayaannya selama lapan tahun menjadi MB Selangor. Modal itu sudah cukup besar untuk Khir.

Jika dibandingkan dengan dua calon lagi, Khir sudah terlebih modal. Khir ada track recordnya sendiri sebab dia berpeluang menjadi pentadbir. Orang boleh nilai kebolehan Khir selama lapan tahun itu. Khiry Jamaluddin dan Mukriz Mahatahir dua lagi calon ketua pemuda tidak ada kesempatan itu. Khairy hanya ada keberanian berhadapan dengan sesiapa sahaja. Manakala Mukriz hanya menumpang tuah dan menggunakan air liur bapanya sahaja.

Jadi Khir yang sudah menjadi MB lapan tahun gunakanlah modal berkenaan. Usahlah memainkan nama Tun Razak kerana nak tagih simpati Najib dan kumpulan-kumpulannya. Seorang ketua pemuda di era globalisasi mesti berani untuk berhadapan dengan sesiapa saja dan sedia menjawab persoalan yang dibangkitkan apa juga mengenai diri kita. Kalau kita penakut macam mana nak jadi panglima?

Dipetik dari www.msomelayu.blogspot.com

1 comments:

zhang ning said...

Bapak………
Lihat ladang kita
Terbentang luas subur dan menghijau tanah yang merdeka

Bapak…….
Ini rumah kita
Pusaka peninggalan untuk melindung keluarga yang merdeka

Bapak ….
Yang hendak ku kata
Pengorbanan mu memberikan kami kelahiran yang merdeka
Terima kasihku
Generasi baru

RAKSASABN HOT VIDEO

Followers

  © Blogger templates Newspaper by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP