Apa perlu Muhyiddin, Hishammuddin buat kenyataan? - Malaysiakini
Friday, July 18, 2008
PELAN peralihan kuasa, sebagaimana yang dikatakan sudah dipersetujui, nampaknya menjadikan Presiden Umno, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi seperti sudah tidak dihormati lagi. Kenyataan dari dua pemimpin Umno, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin dan Datuk Seri Hishammuddin Hussein menimbulkan kekeliruan.
Muhyiddin yang juga Naib Presiden Umno, dipetik sebagai berkata, jika itu keputusan Majlis Tertinggi (MT) dia akan akur tetapi jangan ada sekatan jika ada mana-mana pihak mahu bertanding sebarang jawatan (baca: jawatan Presiden dan timbalan).
Selang dua hari kemudian, kenyataan Muhyiddin ini disambut Hishammuddin, Ketua Pergerakan Pemuda Umno bahawa jawatan Presiden dan timbalan, boleh ditandingi kerana ia termaktub dalam perlembagaan (parti).
Namun, hari ini, Khamis 17 Julai 2008, Ahli MT Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi meminta keputusan Badan Perhubungan Umno di peringkat negeri-negeri perlu dihormati walaupun perlembagaan parti membolehkan jawatan Presiden dan timbalan dipertandingkan pada pemilihan Disember ini.
Kata Zahid yang juga bekas Ketua Pergerakan Pemuda, keputusan itu perlu dihormati kerana ia turut mewakili suara daripada peringkat bahagian.
Ketika Zahid meminta keputusan perhubungan negeri dihormati, kenyataan-kenyataan yang dibuat seorang dua pemimpin yang kononnya 'ada orang tertentu' menyekat pencalonan untuk jawatan Presiden dan timbalan, adalah langkah tidak menghormati Presiden Umno yang juga Perdana Menteri.
Adakah sesiapa yang 'menyekat atau menghalang' cawangan-cawangan mahu membuat percalonan? Jika tiada, apa perlunya kenyataan itu? Mencari populariti atau, kedua-dua mereka mahu bertanding salah satu jawatan tertinggi parti?
Apabila Muhyiddin dan Hishammuddin dilihat seperti 'sekata' dalam isu ini, persepsi masyarakat terbanyak, memang akan ada calon yang mencari pencalonan untuk menentang Presiden dan timbalan, malah, akan ada pertandingan. Dalam konteks ini, calon yang dimaksudkan bukan Tengku Razaleigh Hamzah, sebaliknya, dari kalangan hirerki kepimpinan Umno sendiri, yang mana Muhyiddin dan Hishammuddin sudah mengetahuinya.
Sia-sialah saranan Zahid jika dia meminta keputusan Pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri-negeri dihormati kerana keputusan Pak Lah yang mahu mempertahankan jawatan Presiden dan Najib, sebagai timbalan pun sudah 'dilihat sebagai tidak dihormati lagi'.
Mungkin, kedua-dua orang ini (Muhyiddin dan Hishammuddin) sudah membayangkan, Pak Lah sudah tidak lama di situ, yang menyebabkan mereka tidak perlu lagi menghormatinya. Atau, kedua-dua orang ini membayangkan, Najiblah yang paling layak ditonjolkan sebagai Presiden, supaya akan berlaku kekosongan jawatan timbalan dan naib yang memudahkan mereka (Muhyiddin dan Hishammuddin) mengisinya.
Biasalah, dalam politik bila pohon sudah condong 'kura-kura pun nak panjat'. Saya bukan bermaksud Muhyiddin dan Hishammuddin sama seperti kura-kura tetapi kedua-dua mereka seolah-olah 'hanya mereka sahaja yang tahu dan menghayati perlembagaan'.
Muhyiddin mungkin sudah membayangkan dia akan menang mudah bagi jawatan timbalan manakala Hishammuddin merasakan dialah yang paling layak menjadi Timbalan Perdana Menteri (TPM) apabila Muhyiddin 'hanya mengisi jawatan itu untuk sementara' kerana sejarah Allahyarham Tun Razak Hussein melantik Allahyarham Tun Hussein Onn menggatikan Tun Dr. Ismail Abdul Rahman yang meninggal dunia.
Kebetulan ini, ialah Tun Razak (Pahang) melantik Dr. Ismail (Johor). Bila Dr. Ismail meninggal, pilihan Tun Razak ialah Hussein (Johor). Dari sejarah ini, Muhyiddin dan Hishammuddin 'tidak boleh tidur malam' memikirkannya. Muhyiddin kepingin mengulangi sejarah pencapaian tokoh-tokoh Johor yang pernah menjadi TPM dan PM.
Mana mungkin Muhyiddin mahu 'menyamakan' sejarah pencapaiannya sama seperti Tun Sardon Jubir (Allahyarham) yang hanya menjadi Naib Presiden Umno sahaja tetapi tidak sempat menjadi TPM dan Timbalan Presiden Umno. Paling tidak, Muhyiddin mahu menyamakan rekod dan pencapaian Dr. Ismail dan Tun Musa Hitam sebagai TPM. Tetapi kalau boleh, mahu menyamai rekod Hussein mahu sampai ke kerusi PM.
Begitu juga Hishammuddin. Walaupun dia 'yakin dalam kabur' dia adalah 'pilihan' Najib apabila tiba masanya, tetapi jarak antara dia dengan Najib sekarang, terlalu jauh. Najib sudah di kerusi timbalan, tetapi dia masih di kerusi ketua pemuda.
Terbayang-bayanglah di mata Hishammuddin, dia tidak mahu menjadi seperti sejarah Mohd Tawfek Tun Dr. Ismail dan Mohd Tamrin Tun Ghafar Baba yang mana, pencapaian mereka bukan sahaja tidak setinggi pencapaian aruah bapa mereka, malahan, hanyut bersama-sama orang lain yang bukan dari kalangan anak pemimpin.
Hishammuddin sudah nampak, anak-anak bekas menteri pun ramai yang dapat jadi menteri, mana mungkin anak bekas perdana menteri hanya setakat menjadi menteri? Dia Nampak, anak Allahyarham Datuk Abdul Rahman (bekas Menteri Pelajaran – Pahang) hanya menjadi timbalan menteri (Datuk Fauzi Abdul Rahman). Anak kepada Syed Jaafar Albar (bekas Timbalan Menteri) berjaya menjadi menteri (Syed Hamid Albar).
Anak Tan Sri Ghazali Jawi (MB Perak dan Menteri) berjaya menjadi menteri dan MB (Datuk Seri Mohd Tajol Rosli), anak MB Perlis (Sheikh Ahmad Hashim) berjaya menjadi menteri (Radzi Sheikh Ahmad) dan ramai lagi.
Disebabkan sejarah-sejarah ini, maka Hishammuddin sudah semakin 'gopoh' untuk meningkat dalam hirerki politik kerana dia bimbang tercicir.
3 comments:
Hisham dan Muhyidiin dua dua tak guna. Nak jawatan saja. Kementerian tak bergerak. Menteri tak buat kerja.
hahahaha kehancuran hisham bermula. kisah hisham dan Muhyidin ni sama ja. Hidup diaorg ni dalam politik yang busuk.
Hisham ni dasar pengecut. Anak Bangsawan konon. Muhiyiddin walaupon nak lawan presiden parti, at least dia berani. Tetapi kenapa dalam usaha PAS bergabung, semua senyap sahaja? Nak bertanding jawatan sahaja.
Alif
Post a Comment