MAHATHIR TIDAK YAKIN WAWASAN 2020 BERJAYA, TUKARKAN SAJA KEPADA WAWASAN 2050 ~ Malaysiakini
Tuesday, December 16, 2008
Kalau sudah mantan perdana menteri, Tun Mahathir Mohamad sendiri menyuarakan Wawasan 2020 tidak akan tercapai atas sebab terjejasnya pertumbuhan ekonomi dan keadaan politik yang tidak stabil, tentulah rakyat merasakan satu kerugian yang amat besar dari apa yang telah dibelanjakan untuk meguar-uarkan wawasan tersebut selama ini.
Mahathir menyatakan perkara ini selepas berucap di program syarahan Bridges-Dialogues Towards Culture of Peace di Auditorium Cempaka Sari, Kompleks Perpadanan Putrajaya baru-baru ini.
Sesungguhnya Wawasan 2020 telah dilihat hanya satu gimik semata-mata untuk Mahathir yang ketika itu sedang mencari satu kemuncak populariti dirinya sahaja untuk menandakan kemuncak kemajuan negara yang bergelar Malaysia Negara Maju. Tidak lebih dari itu walaupun pada hakikatnya kita memang sudah maju dan akan terus maju bersaing dengan negara-negara lain termasuk yang terlebih dahulu maju dari kita.
Hari ini, tanyalah kepada mana-mana golongan biasa seperti pekebun kecil, ahli perniagaan korporat, pelajar, orang kampung, orang bandar, polis, askar, pensyarah, ahli akedemik, waima orang politik, menteri atau siapa sajalah apa yang mereka faham mengenai Wawasan 2020?
Kita akan dapat jawapan yang macam-macam. Kebanyakannya tak tahu langsung apa sebenarnya maksud Wawasan 2020 itu melainkan ia merupakan hanya sebuah iklan tanpa produk.
Yang cerdik akan cuba menerangkan kandungan Wawasan 2020 itu sebagai wacana kejayaan, Yang tidak berapa faham akan merepek-repek cerita pasal peningkatan kemajuan kita sejak selepas merdeka. Yang tahu sikit-sikit akan cuba menambah-nambah dengan caranya sendiri untuk mencantikkan bunga-bunga kata hingga akhirnya tidak siapa yang faham.
Sama ada kita ada tarikh untuk menyatakan kita maju atau tidak apabila masuk tahun 2020 nanti yang hanya tinggal lebih kurang 11 tahun saja lagi itu, nyatanya negara kita sudah di peringkat cukup maju tetapi tidak secara total. Dari segi kemajuan, negara kita masih ramai lagi hidup di paras kemiskinan dan daif. Kita masih mempunyai tempat yang tidak mempunyai infrastruktur asas yang cukup. Di bandar-bandar besar pun termasuk yang sudah diberi taraf bandaraya masih dikelilingi setinggan lagi. Warung-warung kotor masih bersepah lagi dan batang-batang jalannya pun masih penuh dengan lopak-lopak dan keadaan keliling masih kotor.
Walaupun semasa Mahathir perdana menteri, beliau dilihat sebagai seorang yang cukup handal kerana telah berjaya membangunkan KLIA, KLCC, Putrajaya, Litar Lumba F1, memperkenalkan ICT dan berjaya membangkitkan kegunaan IT yang begitu meluas dan sebagainya, tetapi Mahathir gagal memberi tumpuan serentak memajukan kawasan-kawasan pendalaman yang menderita tanpa pembangunan untuk membekalkan keperluan penduduk selesa dengan keperluan asas yang sempurna.
Kita masih banyak lagi tempat-tempat terpencil dan terbiar tanpa didatangi kemajuan. Kerana itu apabila setiap kali mahu mengadakan pilihan raya kecil di sesuatu kawasan, kerajaan terpaksa bergegas dan tergesa-gesa membaiki jalan, mengadakan lampu isyarat, membina surau dan masjid, memasang letrik, membesarkan longkang dan sebagainya.
Padahal semua itu sepatutnya sudah sedia ada, bukan kerana pilihan raya. Keadaan setiap kali mahu mengadakan pilihan raya kecillah baru kerajaan terkial-kial mahu buat itu dan buat ini yang mana kalau didekati masalah itu, sebenarnya ia hanya kebetulan menjadi rahmat bidan terjun semata-mata kerana sebelum itu, penduduk hanya boleh mengadu dan memohon, tetapi hanya disambut dengan kata-kata akan dibawa kepada pihak atasan dan akan dipertimbangkan.
Kerana itulah juga, pihak media tidak pernah kering dengan bahan mendedahkan kedaifan sesuatu tempat secara terus menerus sehingga ke hari ini sebagai pemberitahuan kepada kerajaan bahawa kita masih banyak lagi tempat yang memerlukan pembangunan demi kemajuan yang kita laung-laungkan untuk kita sambut pada malam menyambut tahun 2020 nanti.
Adalah mustahil Mahathir tidak tahu akan hal ini. Tetapi beliau lebih gah mahu bermegah dengan kecanggihan untuk beriak dengan dunia luar bahawa kita mempunyai tempat hebat-hebat untuk menarik pelabur dan pelancong luar negara sahaja. Namun begitu, pelancong mahupun pedagang yang mahu melabur ke sini tahu dari pelbagai sumber bahawa Malaysia kelihatan maju secara spot sahaja. Ia masih tidak menyeluruh.
Kerana itulah juga suasana politik kita tidak sentiasa stabil kerana begitu ramai lagi rakyat yang terputus daripada aliran pembangunan sama rata untuk dibanggakan. Ia terlalu jelas sebelum ini, kerajaan mengamalkan sikap berpura-pura dengan memejamkan mata akan hal kemajuan di kawasan tertentu. Ia hanya akan dibangunkan ketika diperlukan seperti mahu mengadakan pilihan raya sahaja.
Atas sebab itulah, apabila Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi diberi peluang jadi perdana menterii, antara keutamaan beliau adalah untuk membasmi kemiskinan. Beliau tidak ghairah mahu membangunkan projek-projek mega sedangkan ramai lagi rakyat yang memerlukan pembelaan.
Pak Lah kena bersungguh-sungguh mencari pendekatan ke arah penekanan terhadap menghapuskan kemiskinan, pengngguran, membina modal insan untuk menutup kelemahan dari segi perlaksanaan zaman pemerintahan Mahathir.
Sambil itu, Pak Lah juga sedar kegiatan rasuah, penyalahgunaan kuasa, kelonggaran keselamatan, kelemahan institusi kehakiman telah lama berjalan yang diragui rakyat lantas keyakinan rakyat terhadap kerajaan kian terhakis akibat dari kelalaian kepimpinan sebelum ini.
Soal terjejasnya ekonomi dunia dan keadaan politik tidak stabil untuk menjadi alasan kegagalan Wawasan 2020 tidak wajar dibangkitkan kerana ia sudah dilihat dari awal lagi akan gagal dari sikap kepimpinan Mahathir yang tidak memikirkan perseimbangan beberapa sudut penting dalam pembangunan domestik.
Nescaya kalau Mahathir memerintah lagi 10 tahun pun, Wawasan 2020 tidak akan berjaya sepertimana digambarkan semasa ianya dilancarkan. Ia adalah satu projek mega Mahathir yang ternyata gagal. Tidak ada gunanya negara menghabiskan wang untuk menyambut Wawasan 2020 atau 2030 sekalipun kalau status kemajuan hanya di bandar-bandar besar sahaja sedangkan masih ramai rakyat yang masih mundur dan banyak lagi kawasan yang tersisih dari pembangunan yang berpatutan.
Mahathir patut malu menyebut Wawasan 2020 itu dan lebih-lebih lagi menyatakan jangkaannya wawasan itu akan menemui kegagalan kerana hanya faktor gejala ekonomi dan politik kerana ia berkaitan sangat rapat dengan apa yang dirancang tidak selari dengan perlaksanaan yang rapi supaya sesiapa sahaja yang mengambilalih kepimpinan boleh menyambung usaha merealisasikan Wawasan 2020 lancar.
Pertukaran perdana menteri lama ke perdana menteri baru tidak begitu kemas kerana Mahathir telah meninggalkan banyak benda yang telah rosak kepada penggantinya. Pak Lah terpaksa membaiki apa yang telah rosak dan mengeluarkan gantirugi yang banyak bagi menebus kesilapan lampau daripada memberi konsentrasi kepada merealisasikan Wawasan 2020 yang telah dipancang oleh Mahathir.
Lebih baiklah ketika ini atau semasa Datuk Seri Najib Tun Razak mengambilalih tampuk kepimpinan nanti, ubahlah wawasan Mahathir itu kepada Wawasan 2050 supaya kita mempunyai cukup masa untuk membaiki banyak perkara yang harus diperkemas semula. Kalau kapsul Wawasan 2020 perlu dibuka pada tarikh itu, janganlah raikan kegagalan itu. Lebih baik gantikanlah kandungannya untuk tahun 2050 pula